by Faiz Riziq | Mar 6, 2024 | Kewangan, Keberhutangan & Pelaburan, Tips, Tinjauan & Statistik
Mungkin ramai yang tidak tahu ada alternatif lain dalam membuat pembayaran balik pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN). Selain melalui potongan gaji, salah satu cara yang boleh dipertimbangkan adalah dengan bayar PTPTN guna KWSP.
Langkah Mudah Bayar Balik Pinjaman Pendidikan PTPTN Menggunakan Akaun 2 KWSP
Bayar PTPTN guna KWSP boleh dibuat melalui Akaun 2 Kumpulan Wang Simpanan Pekerja peminjam atau pasangan (suami/isteri), anak-anak dan/atau ibu bapa. Namun begitu, ia tertakluk pada syarat pengeluaran semasa yang ditetapkan oleh KWSP. Permohonan bayar PTPTN guna KWSP boleh dibuat secara online melalui e-Pengeluaran di laman web rasmi KWSP. Ada tujuh langkah yang perlu dilakukan untuk bayar PTPTN guna KWSP seperti berikut:
1. Log Masuk i-Akaun KWSP
Masukkan ID pengguna dan klik ‘Log masuk’. Kemudian, masukkan kata laluan dan klik butang ‘Teruskan’.
2. Permohonan Pengeluaran
Pada menu utama, pilih ‘Pengeluaran’. Kemudian, pilih ‘Permohonan Baharu’. Pilih jenis pengeluaran pendidikan dan lengkapkan maklumat pengajian yang diperlukan. Setelah selesai, klik butang ‘Seterusnya’.
3. Lengkapkan Maklumat Ahli dan Amaun Kelayakan
Isi maklumat peribadi, maklumat pengeluaran, butiran pembayaran balik serta semua maklumat lain yang diperlukan, kemudian klik ‘Seterusnya’.
4. Semakan Ringkasan Permohonan Pengeluaran
Seterusnya, anda perlu semak maklumat permohonan dan klik permohonan TAC. Masukkan nombor TAC yang dihantar ke telefon bimbit berdaftar melalui khidmat pesanan ringkas (SMS) dan klik butang ‘Hantar’.
5. Pengesahan Permohonan Pengeluaran
Jika maklumat anda sudah lengkap, klik ‘Setuju’ untuk membuat perakuan diri. Permohonan anda sudah berjaya dihantar.
6. Hadir ke Pejabat KWSP
Setelah selesai, anda perlu hadir ke pejabat KWSP untuk proses pengesahan Cap Ibu Jari (CIJ). Bawa bersama dokumen sokongan yang diperlukan oleh KWSP untuk melancarkan proses permohonan.
7. Tunggu Proses Permohonan Selesai
Status permohonan bayar PTPTN guna KWSP akan dihantar melalui SMS atau melalui mesej sekuriti inbox di i-Akaun KWSP. Biasanya, proses ini akan akan mengambil masa dalam tempoh tujuh hingga 14 hari waktu bekerja setelah PTPTN memproses maklumat ini.
Melalui Akaun 2 KWSP, peminjam boleh bayar amaun tunggakan, menjelaskan sebahagian atau semua baki pinjaman pendidikan PTPTN sekali gus tanpa dikenakan sebarang caj pemprosesan. Selain itu, tiada had pengeluaran ditetapkan dan anda juga boleh buat pengeluaran lebih daripada sekali selagi Akaun 2 masih mempunyai baki. Bukan itu sahaja, peminjam juga berpeluang nikmati penjimatan kos ujrah serta memendekkan tempoh bayaran balik.
Bayar PTPTN Guna KWSP: Manfaatkan Simpanan Anda untuk Keperluan Masa Kini
Semoga perkongsian ini membantu anda untuk menyelesaikan bayaran balik pinjaman pendidikan PTPTN anda. Selain bayar PTPTN guna KWSP, anda juga boleh lakukan pengeluaran simpanan Akaun 2 KWSP untuk beli rumah, mengurangkan baki pinjaman perumahan dan sebagainya. Anda boleh rujuk KWSP untuk info lanjut berkaitan pengeluaran KWSP yang dibenarkan.
by Faiz Riziq | Mar 4, 2024 | Kewangan, Keberhutangan & Pelaburan
Meskipun banyak berita memaparkan penipuan pelaburan, masih ramai lagi masyarakat yang mudah percaya dan terpedaya. Kes penipuan skim pelaburan atau penipuan scammer mudah berlaku kerana sikap individu yang kurang cakna terhadap risiko pelaburan dan mengharapkan keuntungan segera dalam tempoh yang singkat. Berdasarkan statistik yang dikeluarkan oleh Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman, seramai 1.7 juta mangsa sindiket pelaburan dilaporkan dalam tempoh empat tahun dengan anggaran kerugian sebanyak RM4.9 bilion.
Ambil Kira Risiko Pelaburan, 4 Risiko Biasa yang Anda Perlu Tahu
Risiko pelaburan secara umumnya berkait rapat dengan keuntungan atau kerugian yang bakal diperoleh. Ini bermaksud, semakin tinggi risiko, semakin banyak pulangan pelaburan (atau risiko kerugian) yang bakal diperoleh. Secara asasnya, setiap instrumen pelaburan mempunyai risiko dan pulangan yang tersendiri.
Namun begitu, apa yang dimaksudkan dengan risiko pelaburan? Secara asasnya, risiko pelaburan merujuk kepada ketidakpastian atau potensi kerugian yang wujud dalam pelaburan. Dalam erti kata lain, ada kemungkinan setiap pelaburan yang anda sertai menerima kadar pulangan yang kurang atau pelaburan menanggung kerugian berbanding jangkaan. Oleh sebab itu, anda perlu sentiasa bersedia dengan segala risiko yang mungkin dihadapi dalam pasaran saham. Berikut antara risiko yang sering dihadapi oleh pelabur:
1. Risiko Inflasi
Inflasi memberi kesan kepada kuasa beli pengguna. Ia juga menyebabkan nilai wang semakin mengecil dan berlaku kenaikan harga barangan. Jika dahulu sekeping duit RM50 boleh membeli pelbagai jenis barangan keperluan harian. Namun kini nilai tersebut hanya mampu membeli sebotol minyak masak dan lampin pakai buang sahaja. Sebagai pelabur, anda perlu mengambil kira potensi pulangan yang bakal diperoleh dan memastikan ia melebihi kadar inflasi semasa untuk memaksimumkan keuntungan.
2. Risiko Pasaran
Risiko pasaran merupakan salah satu risiko yang bakal dihadapi oleh pelabur. Secara asasnya, risiko pasaran berkait rapat dengan naik turun pasaran saham. Ia juga dipengaruhi oleh faktor-faktor semasa seperti ketidakpastian ekonomi, keadaan politik dan sebagainya. Sebagai contoh, turun naik harga emas hari ini di Malaysia berkait rapat dengan faktor-faktor semasa seperti ekonomi dan politik dunia, permintaan, inflasi dan harga minyak serta harga dolar USD.
3. Risiko Kadar Faedah
Apabila berlaku sesuatu perubahan yang tidak dijangka terhadap kadar faedah, sekuriti pendapatan tetap seperti bon akan menerima kesan yang setara. Sekuriti pendapatan tetap sangat sensitif kepada risiko kadar faedah – ia memberi impak langsung sekiranya ada perubahan pada kadar faedah. Biasanya, nilai bon akan jatuh sekiranya kadar faedah meningkat.
4. Risiko Kredit
Selain itu, risiko kredit juga merupakan salah satu risiko yang perlu dipertimbangkan ketika membuat pilihan pelaburan anda. Jika berlaku situasi penerbit bon atau sukuk tidak mampu atau gagal membayar pulangan kepada pelabur disebabkan muflis atau sebagainya, anda mungkin akan menerima impak yang setara. Pemegang bon berkemungkinan tidak akan menerima faedah atau prinsipal yang dijanjikan jika syarikat yang mengeluarkan bon mengalami masalah kewangan.
5 Strategi untuk Menguruskan Risiko Pelaburan
Pengurusan risiko pelaburan merupakan salah satu elemen penting dalam memastikan anda tidak mengalami kerugian yang besar. Jika pelaburan diuruskan dengan baik, ia dapat membantu anda memaksimumkan keuntungan. Berikut merupakan lima cara yang boleh anda pertimbangkan untuk mengurangkan risiko sebelum melabur:
1. Pelbagaikan Pelaburan Anda
Anda tidak digalakkan untuk menumpukan kepada satu instrumen pelaburan sahaja dan mempelbagaikan pelaburan anda. Ini kerana, setiap pelaburan mempunyai impak kerugian (atau potensi keuntungan) yang tersendiri. Dengan mempelbagaikan instrumen pelaburan anda, ia secara tidak langsung dapat membantu mengurangkan risiko kerugian dan memaksimumkan keuntungan anda. Anda boleh pertimbangkan medium pelaburan seperti Tabung Haji, Amanah Saham Bumiputra (ASB), unit amanah dan sebagainya.
2. Risiko Pelaburan: Fahami Pelaburan Anda
Secara asasnya, setiap pelaburan yang anda sertai menawarkan tahap kerugian dan keuntungan yang berbeza bergantung pada jenis pelaburan yang anda lakukan. Oleh sebab itu, anda perlu ambil tahu setiap instrumen pelaburan yang anda sertai.
Pengetahuan yang jelas mengenai pelaburan yang disertai dapat mengurangkan risiko pelaburan yang mungkin dihadapi. Fahami potensi risiko, kaji pulangan faedah atau dividen dan prestasi setiap jenis pelaburan yang disertai bagi memastikan pelaburan anda tidak mendatangkan kerugian.
3. Tetapkan Objektif dan Matlamat Pelaburan Anda
Sebelum terlibat dalam mana-mana pelaburan, anda perlu menentukan objektif dan matlamat pelaburan anda. Tanpa objektif dan matlamat yang jelas, ia mungkin akan menyukarkan anda untuk membuat keputusan dan memilih instrumen pelaburan yang sesuai untuk anda. Antara matlamat biasa yang ditentukan adalah seperti simpanan persaraan, pengurusan hutang, pendidikan anak-anak, mengerjakan haji dan umrah dan sebagainya.
4. Risiko Pelaburan: Ketahui Toleransi Risiko Anda
Setiap pelaburan yang anda sertai mungkin berisiko mengalami kerugian. Oleh sebab itu, anda perlu mengenal pasti tahap toleransi risiko anda. Dengan mengenal pasti tahap toleransi risiko, ia dapat membantu anda memilih jenis pelaburan dan membina portfolio pelaburan yang terbaik dan sesuai untuk anda. Sebagai contoh, jika tahap risiko anda sederhana (bukan seorang yang suka mengambil risiko), anda boleh memilih pelaburan risiko rendah (skala konservatif) seperti Pelaburan Saham Koperasi Bank Rakyat, Dana Pasaran Wang atau Pelaburan Takaful. Namun jika anda seorang yang suka mengambil risiko, anda boleh mempertimbangkan pelaburan risiko tinggi yang lebih agresif.
5. Jangka Masa Pelaburan
Jangka masa pelaburan merupakan salah satu toleransi kerugian yang perlu anda pertimbangkan sebelum memilih pelaburan yang sesuai untuk anda. Semakin lama tempoh pelaburan anda, semakin selamat dan semakin tinggi keuntungan pelaburan anda. Di Malaysia, caruman KWSP merupakan salah satu contoh pelaburan jangka panjang terbaik yang boleh anda pilih.
Elak Kesilapan dalam Pelaburan untuk Minimumkan Kerugian
Risiko semestinya sesuatu perkara yang tidak dapat dielakkan dalam kehidupan seharian. Namun begitu, anda boleh meminimumkan kerugian dengan mengamalkan strategi pelaburan yang betul. Anda disarankan untuk menganalisis, mengkaji dan melakukan penilaian secara menyeluruh sebelum membuat keputusan yang terbaik untuk masa depan anda.
by Faiz Riziq | Mar 2, 2024 | Kewangan, Keberhutangan & Pelaburan, Tips, Tinjauan & Statistik
Perbelanjaan berkaitan penjagaan kesihatan tidak kira sama ada di hospital swasta mahupun hospital kerajaan adalah salah satu aspek penting yang perlu dititikberatkan. Kos untuk mendapatkan perkhidmatan penjagaan kesihatan terutamanya kos rawatan hospital swasta boleh menjadi sesuatu yang membebankan lebih-lebih lagi jika tidak dirancang dengan baik.
Cara Meminimumkan Impak Kewangan Disebabkan Kos Rawatan Hospital Swasta yang Mahal

Apabila bercakap tentang penjagaan kesihatan, penting untuk anda merancang kewangan dan bersedia dari awal. Apabila anda jatuh sakit, tiada apa yang lebih merisaukan melainkan kemampuan dan keupayaan anda untuk memperuntukkan dana bagi menampung kos rawatan perubatan yang mungkin menelan belanja yang mahal.
1. Bersedia Awal dengan Sebarang Kemungkinan
Masalah kesihatan atau penyakit kronik boleh berlaku pada sesiapa pun tanpa mengira usia atau jantina. Kos rawatan kesihatan terutamanya kos rawatan hospital swasta boleh menelan belanja yang tinggi. Jangan bertangguh atau tunggu sehingga sakit kerana insurans perubatan hanya boleh diperolehi oleh individu yang sihat.
Syarikat insurans biasanya akan membuat penilaian risiko seseorang individu – semakin tua usia anda, semakin tinggi risiko penyakit dan kos insurans yang perlu ditanggung.
Perbezaan Harga Kos Rawatan Hospital Swasta vs Kos Rawatan Hospital Kerajaan di Malaysia
Di Malaysia, terdapat dua sistem penjagaan kesihatan yang boleh dipertimbangkan iaitu hospital kerajaan dan hospital swasta. Apa yang membezakan kedua-dua hospital ini – kos rawatan kesihatan. Kos rawatan hospital swasta biasanya lebih mahal berbanding kos rawatan hospital kerajaan.
Hospital swasta secara asasnya menawarkan akses penjagaan kesihatan kepada individu yang berkemampuan memperuntukkan lebih dana. Berikut perbezaan antara kos rawatan hospital swasta dan kos rawatan hospital kerajaan untuk membantu anda bersedia dengan kos-kos yang mungkin perlu ditanggung:
| Jenis Rawatan |
Kos Rawatan Hospital Kerajaan |
Kos Rawatan Hospital Swasta |
| Kos angiogram jantung |
RM50-RM200 |
RM15,000-RM20,000 |
| Kos pembedahan lutut (penggantian lutut bilateral) |
RM10,000-RM35,000 |
RM25,000-RM45,000 |
| Pintasan graft arteri koronari |
RM4,000-RM5,000 |
RM25,000-RM80,000 |
| Kemoterapi |
RM200-RM300 untuk setiap sesi rawatan |
RM50-RM4,000 untuk setiap kitarani rawatan |
| Penggantian pinggul |
RM8,000-RM15,000 |
RM24,000-RM55,000 |
| Kos pembedahan tulang belakang |
RM15,000-RM36,000 |
RM40,000-RM55,000 |
| Katarak |
RM100-RM540 |
RM3,500-RM6,000 |
| Rawatan strok |
RM4,000 ke atas |
RM35,000-RM75,000 |
| Kos pembedahan katarak mata di hospital kerajaan |
RM100-RM500 |
RM3,500-RM6,000 |
| Denggi |
Percuma |
RM1,000-RM3,000 |
| Kos pembedahan batu hempedu (batu karang) |
RM3,000-RM10,000 (bergantung pada kerumitan kes) |
RM9,000-RM40,000 (bergantung pada kerumitan kes) |
Makluman: Kos rawatan ini mungkin berbeza bergantung pada penyedia penjagaan kesihatan serta tahap keseriusan keadaan perubatan. Kos tambahan tertentu mungkin terpakai seperti prapembedahan, saringan kesihatan, keperluan perubatan dan lain-lain bergantung pada keperluan individu.
2. Jangan Bertangguh untuk Dapatkan Insurans Kesihatan
Kenaikan kos rawatan terutamanya kos rawatan hospital swasta adalah sesuatu yang tidak boleh dielakkan. Cara terbaik untuk kurangkan impak terhadap kewangan peribadi anda adalah dengan mendapatkan perlindungan insurans kesihatan.
Insurans perubatan dan kesihatan adalah salah satu perancangan persaraan yang dipandang remeh oleh kebanyakan individu. Insurans kesihatan membolehkan anda mendapatkan rawatan di hospital swasta tanpa perlu menunggu lama atau memikirkan kos rawatan hospital swasta yang perlu ditanggung.
3. Ambil Kira Risiko Peribadi
Perancangan kewangan setiap individu adalah berbeza-beza bergantung pada risiko masing-masing. Ambil kira sejarah kesihatan keluarga untuk menentukan tahap risiko kesihatan anda supaya dapat bersedia dengan lebih baik. Maksudnya, jika ada ahli keluarga yang menghidap mana-mana penyakit kritikal, pertimbangkan untuk mendapatkan perlindungan yang bersesuaian.
Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), penyakit jantung koronari dan strok adalah pembunuh utama di Malaysia. Meskipun terdapat rawatan untuk penyakit-penyakit kritikal sebegini, kos rawatan terutamanya kos rawatan hospital swasta tidaklah murah.
Kos rawatan hospital swasta untuk penyakit strok misalnya boleh menelan belanja antara RM35,000 hingga RM75,000. Dalam tempoh 20 tahun, kos rawatan ini boleh meningkat lebih tinggi jika ambil kira peningkatan inflasi perubatan antara 10 hingga 15 peratus setiap tahun.
Beli Insurans Kesihatan di KMC untuk Perlindungan dan Ketenangan Masa Depan
Apabila anda didiagnosis dengan penyakit-penyakit kritikal seperti strok atau kanser, ia boleh memberi kesan kepada emosi dan kewangan anda. Salah satu cara terbaik untuk mengatasi kebimbangan ini adalah dengan mendapatkan polisi insurans kesihatan yang akan menyokong keperluan perubatan anda.
Tidak kira sama ada pelan perlindungan peribadi atau insurans kumpulan, perlindungan insurans perubatan dan kesihatan yang dimiliki semestinya dapat meningkatkan kualiti hidup dan memberikan anda ketenangan fikiran. Sebelum beli polisi insurans perubatan, penting untuk anda:
- Dapatkan insurans perubatan ketika anda dalam masih sihat;
- Dapatkan pelan medical card yang menyeluruh dengan ambil kira jangka hayat purata rakyat Malaysia iaitu 75 tahun;
- Cari pelan perlindungan yang tidak mengenakan had maksimum seumur hidup untuk memastikan akses perlindungan yang berterusan;
- Cari had tahunan yang lebih tinggi untuk membantu mengatasi kenaikan kos perubatan dengan lebih baik;
- Pastikan penyedia insurans anda tidak mengenakan dasar kongsi insurans (atau ko-insurans) ke atas anda untuk elakkan anda daripada menampung sebahagian daripada bil hospital sendiri.
by Faiz Riziq | Mar 1, 2024 | Fakta & Informasi, Kewangan, Keberhutangan & Pelaburan, Luar Negara, English & Other Country
Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dijangka mengumumkan inisiatif ‘Akaun Fleksibel’ atau Akaun 3 pada April ini yang merangkumi mekanisme serta kelonggaran pengeluaran kepada pencarum, kata Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan.
Beliau berkata, mekanisme mengenai Akaun 3 itu akan diperjelaskan kepada pencarum selepas KWSP mengumumkan agihan dividen pada Ahad ini.
“Mereka (KWSP) juga akan menyatakan dan menerangkan cara-cara pengeluaran, mekanisme yang ada di mana pemecahan akaun tiga akan diterangkan,” katanya.
Beliau berkata demikian sebagai menjawab soalan tambahan Khairil Nizam Khirudin (PN-Jerantut) mengenai status terkini Akaun 3 khususnya dari segi kaedah pengeluaran pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini. Amir Hamzah berkata kerajaan tidak melihat kepada sebarang pengeluaran secara bersasar kerana ia akan memburukkan lagi isu ketidakcukupan simpanan persaraan.
“Kerajaan tidak melihat kepada pengeluaran bersasar kerana akan ada juga kelonggaran dalam Akaun 3 itu,” katanya.
Sumber – Bernama
by Faiz Riziq | Feb 29, 2024 | Kewangan, Keberhutangan & Pelaburan, Tips, Tinjauan & Statistik
Menjelang hari raya, pasti ramai yang sibuk membuat persiapan seperti membeli pakaian raya baharu, perabot dan kelengkapan rumah baharu dan banyak lagi. Dalam keghairahan membuat persiapan raya, beberapa tindakan terutamanya berkaitan cara urus kewangan perlu diambil. Ia bagi mengelakkan pembaziran atau berbelanja melebihi bajet dan kemampuan.
Bajet Hari Raya: Cara Urus Kewangan untuk Elakkan Bebanan Hutang Selepas Aidilfitri
Dalam kemeriahan dan kesibukan membuat persiapan untuk menyambut Aidilfitri, aspek pengurusan kewangan perlu dititikberatkan. Ini kerana, ramai yang sanggup berhutang pinjaman peribadi dan mengeluarkan duit daripada tabung simpanan semata-mata untuk tampil serba baharu di pagi raya. Jika tidak dikawal, ia boleh menyebabkan anda terjerat dengan komitmen hutang yang tinggi selepas hari raya.
1. Baju Raya
Setiap kali menjelang hari raya, ramai memilih untuk membeli baju raya. Ada sesetengah orang tak sah jika baju rayanya tidak ‘tailored-made’. Namun, baju yang dijahit secara khas ini kebiasaannya lebih mahal daripada biasa. Oleh tu, anda disarankan untuk membuat berbelanja dengan kemampuan sendiri. Elakkan diri daripada terpaksa berhutang sana sini.
Antara perkara yang anda boleh praktikkan adalah elak beli baju raya setiap tahun. Ini kerana ada yang memakai baju raya tersebut untuk dipakai sekali sahaja dan tersimpan usang di dalam almari. Sekiranya kemahuan anda untuk membeli itu tinggi, pilih baju dengan harga yang sederhana dan boleh digunapakai berulang kali selepas raya.
Selain itu, tetapkan had belanja untuk setiap baju. Contohnya RM100 hingga RM150 diperuntukkan untuk baju raya dewasa dan RM60 hingga RM70 untuk baju raya kanak-kanak. Sekiranya anda mempunyai enam ahli keluarga, anda boleh ikuti bajet seperti di bawah:
- Suami: RM100
- Isteri: RM150
- Anak pertama: RM70
- Anak kedua: RM70
- Anak ketiga: RM70
- Anak keempat: RM70
- Jumlah: RM530
Walau bagaimanapun, bajet ini boleh dikecilkan lagi seperti menggunakan baju raya lama yang masih baik mengikut kemampuan anda. Yang paling penting, baju raya yang dibeli mestilah sesuai untuk dipakai lebih dari sekali supaya tidak dibazirkan.
2. Kuih Muih dan Ketupat Rendang
Tak sah lah raya bila tak ada ketupat rendang dan kuih-muih. Walau bagaimanapun, mana satu yang lebih jimat, buat sendiri atau beli? Sekiranya anda inginkan kuih raya dalam kuantiti yang banyak, lebih jimat jika dibuat sendiri. Kalau sekadar inginkan dalam kuantiti yang sedikit, beli di pasaraya lebih jimat. Ini juga terpakai untuk makanan-makanan raya yang lain seperti ketupat, rendang, lemang dan bermacam-macam lagi.
Sebagai contoh, ini bajet untuk makanan raya yang anda boleh ikuti:
- Kuih Raya – RM100
- Ketupat – RM30
- Lemang – RM40
- Rendang ayam dan daging – RM200
Jumlah yang anda perlu peruntukkan untuk juadah hari raya adalah: RM320
Sekiranya anda mempunyai bajet yang lebih kecil, apa yang anda boleh lakukan anda dengan mengurangkan bajet dari segi kuih raya dan lemang.
3. Bagi Duit Raya Ikut Kemampuan
Ini juga merupakan satu dilema. Berapa duit raya yang perlu diberi? Amalan memberi duit raya adalah amalan yang baik kerana dalam Islam sendiri amat digalakkan untuk bersedekah. Namun, anda disarankan untuk memberi duit raya mengikut kemampuan sendiri. Antara tips yang boleh digunapakai adalah:
- Tukar awal pecahan duit raya kepada not matawang yang lebih kecil seperti RM1 atau RM5 untuk diberikan kepada anak saudara atau anak tetamu yang berkunjung
Utamakan duit raya untuk ibu bapa, dan anak terlebih dahulu.
Contohnya: RM50 x 4 = RM 200 untuk ibu bapa termasuk belah suami/ isteri:
- RM50 x 3 = RM150 untuk tiga orang anak.
- Peruntukkan lagi RM100 – RM150 untuk diberikan kepada anak saudara atau anak tetamu yang datang menziarahi.
Sekali lagi diingatkan, ubah dan sesuaikan tips di atas mengikut kemampuan kewangan semasa anda.
4. Elak Guna Kad Kredit
Bagi perbelanjaan raya, anda dinasihatkan untuk mengelakkan penggunaan kad kredit. Ini kerana anda akan cenderung untuk berbelanja mengikut nafsu dan bukan dalam bajet raya yang sesuai. Jika tidak, anda terpaksa menanggung bil hutang kad kredit yang tinggi kemudian hari. Meskipun raya adalah perayaan setahun sekali, jadi elakkan diri daripada berhutang.
Anda perlu memastikan keperluan dan keutamaan dengan betul. Panduan pecahan yang disyorkan oleh Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) iaitu:
- Keperluan barangan runcit untuk rumah dan juga hari raya – 20 peratus
- Keperluan pakaian raya – 10 peratus (Atau gunakan baju yang sedia ada)
- Keperluan duit raya – 10 peratus
- Keperluan kecemasan – 10 peratus
Jika diikutkan panduan ini, hanya 40 peratus perbelanjaan yang dikatakan sebagai keutamaan atau keperluan. Jadi, elakkan berbelanja mengikut nafsu dan disiplin dalam mengikut bajet yang anda telah tetapkan.
Sebenarnya, banyak perbelanjaan yang dapat dikurangkan dan wang lebihan boleh digunakan untuk menambah simpanan yang boleh digunakan kemudian hari. Ini juga adalah waktu yang sesuai untuk membina dana simpanan dan dana kecemasan.
5. Dana Kecemasan
Bukan sahaja perlu disediakan untuk keperluan harian, tetapi bajet raya anda juga memerlukan dana kecemasan. Misalnya, jika anda dalam perjalanan pulang ke kampung halaman dan kenderaan anda meragam atau kereta mati tepi jalan. Dana kecemasan ini boleh digunapakai untuk membaiki kenderaan tersebut. Sebagai contoh, anda boleh asingkan 25 peratus daripada keseluruhan bajet raya anda untuk dana kecemasan. Bak kata pepatah, sediakan payung sebelum hujan.
Amalkan Sikap Bersederhana, Rancang Perbelanjaan untuk Ketenangan Fikiran
Secara asasnya, anda disarankan untuk amalkan sikap berhemah dan bersederhana dalam berbelanja. Dalam keadaan ekonomi semasa, pendekatan terbaik yang boleh diamalkan adalah berbelanja secara berhemah dan bersederhana, elakkan berhutang dan amalkan cara urus kewangan dengan teliti. Hari raya semestinya perlu disambut dengan meriah, tetapi tidak semestinya anda perlu membelanjakan semua wang simpanan dan harta yang anda miliki.
by Faiz Riziq | Feb 28, 2024 | Ekonomi, Perniagaan & Korporat, Kewangan, Keberhutangan & Pelaburan
Gabenor Bank Negara Malaysia kini berkongsi berkenaan dengan perkembangan semasa mata wang Malaysia, Ringgit. Menurut beliau, Ringgit pada masa ini adalah terkurang nilai, atau undervalued. Berkongsi lanjut, ia dikatakan memandangkan asas dan prospek ekonomi Malaysia adalah positif, ringgit sewajarnya didagangkan pada tahap yang lebih tinggi lagi banding nilai semasa.
BNM telah meningkatkan perbincangan dengan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan, GLC, syarikat korporat dan pelabur untuk menggalakkan aliran masuk yang berterusan ke dalam pasaran pertukaran asing. Sebelum ini, nilai matawang ringgit jatuh kepada RM4.80 untuk setiap dolar Amerika Syarikat, sekaligus membawa kepada tahap terendah sejak tahun 1998 lepas.
Recent Comments