Aplikasi Bursa Gold Dinar Kini Di Telifon Pintar Android

Aplikasi Bursa Gold Dinar Kini Di Telifon Pintar Android

Lanjutan pengenalan perkhidmatan Bursa Gold Dinar oleh Bursa Malaysia pada awal minggu ini, kini aplikasi berkenaan turut tersedia pada platform Android, selain iPhone. Menggunakanya, pengguna boleh melakukan pendaftaran, dan seterusnya mula membeli dan menjual emas menggunakan aplikasi berkenaan.

Sebaik sahaja memuat-turun dan melakukan pendaftaran, pengguna turut perlu melakukan pengesahan identiti – sebelum dapat melakukan pembelian emas. Melalui aplikasi ini, pengguna boleh melakukan pembelian emas pada harga bermula RM10.

Bursa Malaysia menyatakan platform mereka ini patuh syariah, dan pengguna turut boleh menebus emas dalam bentuk syiling fizikal. Bagi anda yang berminat, boleh memuat-turun aplikasi Bursa Gold Dinar, dan menggunakannya dalam dagangan emas hari ini!

OPR Kekal Pada Paras 3.0%

OPR Kekal Pada Paras 3.0%

Bank Negara Malaysia kini mengumumkan yang mana kadar OPR akan dikekalkan pada paras 3.0% tanpa sebarang kenaikkan atau penurunan. Menurut BNM, anggaran awal KDNK bagi suku keempat mengesahkan pertumbuhan keseluruhan pada tahun 2023 berkembang mengikut jangkaan. Untuk tahun 2024 juga, pertumbuhan dijangka akan terus meningkat, selari dengan pemulihan eksport dan perbelanjaan dalam negeri yang berdaya tahan.

BNM turut menyatakan inflasi keseluruhan dan inflasi teras terus menurun pada suku ke-4 2023. Untuk tahun 2024, inflasi dijangka akan kekal sederhana. BNM menekankan yang mana pada tahap OPR semasa, dasar monetari terus menyokong ekonomi, serta konsisten dengan penilaian semasa berhubung prospek pertumbuhan dan inflasi

 

.

GX Bank Tawarkan Kad Debit Secara Berperingkat

GX Bank Tawarkan Kad Debit Secara Berperingkat

GX Bank telah menjadi bank digital pertama di Malaysia dengan menawarkan aplikasi mereka kepada umum sebelum ini, dan kini mereka turut melangkah setapak kehadapan lagi dengan penawaran kad debit GX Bank. Melaluinya, para pengguna boleh menggunakan kad berkenaan untuk pembayaran secara fizikal di pelbagai peruncit, disamping mengeluarkan wang dari mesin ATM.

Kad debit ini dipautkan terus ke aplikasi GX Bank. Pengguna boleh turut mengakses kad maya untuk menggunakannya secara atas-talian. Menariknya juga adalah GX Bank menjanjikan pulangan tunai sebanyak 1% untuk penggunaan kad debit mereka, disamping turut memberikan lebih mata ganjaran apabila berbelanja di Jaya Grocer.

Pihak GX Bank mengaktifkan ciri kad debit ini secara berperingkat kepada pengguna – dimana sekiranya anda menggunakan perbankan digital berkenaan, maka anda mungkin akan menerima notifikasi. Untuk makluman tambahan juga, GX Bank adalah bank konvensional, dan tidak patuh syariah.

Bank Digital Islam Pertama Di Malaysia Dari AEON Bank Mula Operasi

Bank Digital Islam Pertama Di Malaysia Dari AEON Bank Mula Operasi

AEON hari ini turut mengumumkan mereka telah menerima kelulusan pihak berkuasa, turut meliputi Kementerian Kewangan dan juga Bank Negara Malaysia untuk menjalankan operasi perbankan digital di Malaysia. Sebelum ini, sebanyak lima lesen telah dikeluarkan untuk bank digital di Malaysia.

AEON Bank akan menjadi syarikat kerjasama AEON Credit Service Berhad, dan merupakan subsidiari kepada AEON Financial Service. Menariknya juga adalah AEON Bank merupakan penerima lesen bank digital Islam pertama di Malaysia – sekaligus dilihat akan menawarkan sejumlah perkhidmatan patuh syariah kepada pengguna tempatan.

AEON menyatakan akan memulakan ujian AEON Bank melibatkan pekerja AEON terlebih dahulu, sebelum ia diperluaskan kepada semua menjelang pertengahan pertama 2024 ini.

Sarawak Menambah Pegangan Dalam Affin Bank

Sarawak Menambah Pegangan Dalam Affin Bank

Kerajaan negeri Sarawak kini dilaporkan ingin menambah pegangan mereka pada Affin Bank Berhad. Sebelum ini, pada 2023 lepas, Sarawak telah mendapatkan pegangan sebanyak 4.95% pada Affin Bank.

Melalui laporan TheEdge, kerajaan negeri Sarawak dikatakan ingin menambah sekitar 15% pegangan lagi – yang membolehkan Sarawak menjadi pemegang saham ketiga terbesar Affin dengan pegangan hampir 20%. Sarawak mungkin mendapatkan pegangan ini dengan membeli daripada Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT).

Online
Hi! Boleh kami bantu?