by Faiz Riziq | Mar 27, 2024 | Fakta & Informasi, Luar Negara, English & Other Country, Perbankan
Bersempena ketibaan Aidilfitri tidak lama lagi, Bank Islam kini memaklumkan penyediaan ATM khusus buat pengguna bagi pengeluaran duit kertas RM10, RM20, RM50 dan RM100 – untuk persediaan pengeluaran duit raya.
Kemudahan itu untuk makluman, mula tersedia pada hari ini (27 Mac) dengan melibatkan 10 ATM khas di seluruh negara. Maka bagi memudahkan para pengguna ini senarai ATM Raya 2024 Bank Islam:
- Kuala Lumpur – Cawangan Menara Bank Islam
- Selangor – Cawangan Seksyen 18, Shah Alam
- Negeri Sembilan – Cawangan Nilai
- Melaka – Cawangan Ayer Keroh
- Johor – Cawangan Johor Bahru
- Perak – Cawangan Meru Raya
- Pahang – Cawangan Putra Square
- Perlis – Canwangan Kangar
- Sabah – Cawangan Alamesra
- Pulau Pinang – Cawangan Butterworth
by Faiz Riziq | Mar 26, 2024 | Fakta & Informasi, Luar Negara, English & Other Country
Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) mengarahkan Pengasas dan Pengarah Quantum Metal Exchange Inc (QMEI) Datuk Lim Khong Soon @ Lim Hock Seng untuk segera menghenti dan menamatkan penawaran saham QMEI kepada orang awam.
Menurut pengawal selia itu, arahan henti dan tamat tersebut dikeluarkan berikutan penemuan SC bahawa QMEI menawarkan sahamnya kepada masyarakat awam Malaysia, termasuk melalui laman web/platform Quantum Metal Sdn Bhd (QMSB) kepada ahli QMSB.
“Tawaran saham QMEI, yang sedang berjalan, melanggar keperluan berkaitan di bawah undang-undang sekuriti.
“Ini dilakukan tanpa mendapatkan pengiktirafan dan mendaftarkan dokumen pendedahan dengan SC, yang melanggar Seksyen 212 (5) Akta Pasaran Modal dan Perkhidmatan 2007,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Oleh yang demikian, SC juga telah meletakkan QMEI dengan butiran berkaitannya pada Senarai Makluman Pelabur SC http://www.sc.com.my/investor-alert.
Sumber – Bernama
by Faiz Riziq | Mar 25, 2024 | Fakta & Informasi, Luar Negara, English & Other Country, Perbankan
GXBank, iaitu bank digital dibawah Grab kini telah memperkenalkan salah satu ciri yang dinantikan ramai pengguna, iaitu pembayaran dalam bentuk imbasan kod DuitNow QR. Dengan penyertaan ini, kini anda boleh gunakan aplikasi GXBank untuk pembayaran mana-mana kod DuitNow QR di pasaran. GXBank memposisikan akses untuknya melalui halaman antaramuka utama, sekaligus memudahkan pengguna membuka dan melakukan imbasan.
Selain itu, GXBank turut berkongsi bersama kami hari ini, menyatakan akan memperkenalkan program “Referral” pada bulan April kelak, dan turut akan menawarkan pulangan tunai tinggi melalui poket simpanan, bersempena musim perayaan.
Pada masa yang sama, GXBank turut menyatakan yang mana hanya dua lesen perbankan mesra syariah dibenarkan oleh BNM untuk bank digital, dan lesen yang diterima oleh GXBank hanya menyokong bank konvensional sahaja.
by Faiz Riziq | Mar 23, 2024 | Ekonomi, Perniagaan & Korporat, Fakta & Informasi, Perbankan
BMI, sebuah syarikat Fitch Solutions, menjangka Bank Negara Malaysia (BNM) akan mengekalkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) pada 3.0 peratus sehingga akhir 2024.
Katanya pada 7 Mac lepas, bank pusat itu menetapkan OPR pada 3.0 peratus pada mesyuarat kelima berturut-turut, selaras dengan konsensus dan jangkaan BMI.
Menurut firma penyelidikan itu, selain daripada rujukan tidak langsung bank pusat kepada mata wang yang berada ‘di bawah nilai’, yang jelas tiada dalam penyata dasar sebelum ini, terdapat sedikit perubahan, terutamanya untuk panduan ke hadapan.
Dalam nota hari ini, BMI berkata terdapat dua alasan yang menyokong pandangannya bahawa BNM akan mengekalkan kadar pada mesyuarat seterusnya pada 9 Mei 2024.
Pertama, trajektori inflasi semasa tidak memberi ancaman kepada sasaran inflasi bank pusat.
“Pertumbuhan upah dalam sektor perkhidmatan telah berada pada trajektori menurun, mencatat paras tertinggi sebanyak 9.5 peratus tahun ke tahun pada suku kedua 2022 dan terkini merosot kepada sekitar tiga peratus pada suku keempat 2023.
“Data tersebut seterusnya menunjukkan inflasi perkhidmatan, yang menyumbang lebih 50 peratus daripada kumpulannya, akan stabil pada dua peratus pada suku tahun akan datang, sejajar dengan pandangan kami untuk inflasi keseluruhan kepada purata 2.0 peratus pada 2024,” katanya.
Kedua, katanya ringgit menerima tekanan yang tinggi, selepas merosot 5.1 peratus berbanding dolar AS pada tahun lepas.
“Walaupun ia mencatatkan pemulihan secara berperingkat dalam beberapa minggu ini, prestasi ringgit setakat ini masih ketinggalan berbanding ekonomi pasaran sedang pesat membangun yang lain.
“Kami telah menyatakan bahawa BNM akan berhati-hati dalam melonggarkan dasar monetari kerana bimbang akan menjejaskan kestabilan mata wang berikutan keadaan monetari global yang kekal terhad.
“Bank pusat sejajar dengan pandangan ini dan menjangka pendirian dasar monetari global ‘akan kekal terhad’ dalam jangka pendek.
“Bagaimanapun, dengan Rizab Persekutuan AS dijangka melonggarkan dasar pada Jun, perbezaan hasil secara berperingkat akan memberi kelebihan kepada ringgit dalam tempoh beberapa bulan akan datang,” menurut BMI.
Firma penyelidikan itu berpandangan bahawa bukan sahaja BNM cenderung untuk tempoh yang lama tanpa tindakan tetapi pada tiga peratus, kadar dasar adalah sejajar dengan paras sebelum pandemik, menunjukkan bahawa dasar tidak terhad seperti dalam ekonomi lain.
“Seterusnya, kami mengunjurkan tekanan harga asas akan merosot pada 2024 dan purata dua peratus pada 2024, susut daripada 2.5 peratus pada 2023.
“Pasukan minyak dan gas kami mengunjurkan kenaikan lima peratus untuk purata harga minyak mentah pada 2024, konsisten dengan inflasi keseluruhan yang merosot di bawah dua peratus.
“Ini menunjukkan inflasi tidak akan memberi kebimbangan kepada BNM untuk baki tahun ini,” katanya.
Dalam perkembangan lain, BMI berkata pihaknya menjangka pertumbuhan Malaysia akan kekal kukuh pada 2024.
Katanya data akaun negara yang terkini menunjukkan ekonomi menguncup dengan pelarasan musim 2.1 peratus suku ke suku pada suku keempat 2023, bersamaan dengan kadar pertumbuhan tiga peratus tahun ke tahun.
“Walaupun ini menjadikan pertumbuhan tahun penuh pada 2023 kepada 3.7 peratus, ia berkurangan daripada unjuran kami sebanyak 3.9 peratus.
“Melihat ke hadapan, dengan prospek ekonomi yang bertambah baik, kami menjangka pertumbuhan akan meningkat kepada 4.4 peratus pada 2024 dan berpendapat bank pusat lebih cenderung untuk mengekalkan ruang dasar berbanding bertindak sekiranya terdapat kejutan negatif kepada ekonomi,” katanya.
Bagaimanapun, katanya risiko terhadap unjuran kadar faedah cenderung kepada positif.
“Prospek inflasi domestik masih bergantung sebahagian besarnya kepada pelan kerajaan mengenai subsidi pada tahun ini.
“Penurunan akan menyebabkan tekanan harga meningkat semula. Sementara itu, jika ringgit menghadapi tekanan penurunan nilai, ini boleh mendorong BNM untuk menaikkan kadar bagi mengekalkan perbezaan kadar faedah sebenar berbanding Amerika Syarikat,” katanya.
— BERNAMA
by Faiz Riziq | Mar 22, 2024 | Ekonomi, Perniagaan & Korporat, Kewangan, Keberhutangan & Pelaburan, Perbankan
Malaysia tidak akan menghadapi krisis imbangan pembayaran (BOP) kerana negara sentiasa mencatatkan lebihan akaun semasa secara konsisten, kata Timbalan Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM) Datuk Marzunisham Omar.
Beliau berkata bank pusat juga menjangkakan negara sekali lagi akan merekodkan lebihan baki akaun semasa tahun ini disumbang oleh perolehan daripada pelancongan dan pulangan lebih tinggi daripada eksport berbanding import.
“Kita mencatatkan lebihan baki akaun semasa sejak 28 tahun lepas,” katanya pada taklimat media sempena penerbitan Laporan Tahunan 2023, Laporan Tinjauan Ekonomi dan Monetari 2023, dan Laporan Tinjauan Kestabilan Kewangan bagi Separuh Kedua 2023 BNM, di sini, hari ini.
Selain unjuran pemulihan eksport oleh bank pusat, beliau berkata sektor pelancongan merupakan penyumbang pertukaran asing yang besar kepada negara.
“Tahun lepas, 20.1 juta pelancong datang ke Malaysia, dan tahun ini, kementerian (Pelancongan, Seni dan Budaya) menjangkakan kira-kira 27 juta pelancong.
“Dengan kemasukan tanpa visa untuk pelancong China dan ringgit yang bernilai rendah ketika ini, Malaysia terus menjadi tarikan utama,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai imbangan pembayaran negara dan sama ada terdapat kemungkinan Malaysia akan berdepan krisis BOP sama seperti yang dialami Sri Lanka.
Menerusi Laporan Tinjauan Ekonomi dan Moneteri 2023 BNM berkata akaun semasa imbangan pembayaran dijangka mencatatkan lebihan yang lebih tinggi antara 1.8 peratus hingga 2.8 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) tahun ini.
BNM berkata lebihan itu merupakan peningkatan berbanding 1.2 peratus daripada KDNK pada tahun lepas yang merupakan imbangan akaun semasa paling rendah pernah dicatatkan sejak 1997 (-5.9 peratus).
Menurut laporan itu, peningkatan tersebut didorong terutamanya oleh lebihan akaun barangan yang lebih tinggi dan defisit akaun perkhidmatan yang lebih rendah.
“Akaun barangan diunjur mencatatkan lebihan lebih tinggi berikutan pemulihan pertumbuhan eksport yang lebih daripada mengimbangi pemulihan pertumbuhan import,” kata BNM.
BOP menyediakan maklumat terperinci tentang permintaan dan penawaran mata wang sesebuah negara.
Jika sesebuah negara bergelut dengan masalah BOP yang besar, ia mungkin tidak dapat mengembangkan import dari dunia luar manakala negara yang mengalami lebihan BOP yang ketara berkemungkinan besar dapat mengembangkan importnya.
— BERNAMA
Recent Comments