Tips Mencapai Matlamat Kewangan Pada Tahun 2024

Tips Mencapai Matlamat Kewangan Pada Tahun 2024

Seiring kita melangkah ke tahun baru 2024, impian dan azam baru serta cita-cita untuk mencapai matlamat kewangan dan merancang pelan tindakan menjadi keutamaan bagi ramai individu. Ada yang berazam untuk menyimpan bagi merancang perbelanjaan perkahwinan dan ada juga yang menanam hasrat untuk membeli kereta dan memiliki rumah sendiri. Bagi yang komited dan cekal untuk melunaskan hutang sedia ada, permulaan tahun baru merupakan waktu paling sesuai untuk menyusun semula situasi kewangan mereka supaya apa yang dirancang dapat direalisasikan.

Meskipun berbagai azam baru yang dibariskan di dalam pelan tahun baru, pendekatan strategik harus diutamakan bagi memastikan setiap yang diimpikan menjadi kenyataan. Mempunyai matlamat kewangan akan membantu anda mengutamakan keperluan berbanding kehendak dan mengagihkan sumber pendapatan secara berkesan. Matlamat kewangan yang ditetapkan dengan baik berfungsi sebagai peta jalan yang boleh membantu anda membuat keputusan dan tindakan kewangan yang bijak.

Berikut adalah antara tip yang boleh diambil kira bagi mencapai matlamat kewangan anda pada tahun 2024:

 

1. Matlamat Kewangan yang Jelas dan Realistik

Tidak salah seandainya anda memulakan perjalanan tahun baru anda dengan mengumpul impian dan angan-angan. Persoalannya, bagaimanakah cara untuk menterjemahkan impian dan angan-angan ini menjadi sebuah realiti? Pastikan matlamat yang ingin dicapai mempunyai objektif dan tujuan yang spesifik, sesuatu yang boleh diukur dan dicapai (realistik) serta relevan dengan kehidupan anda. Apa yang paling utama, pastikan matlamat kewangan anda dirancang dan diukur dengan tempoh dan masa yang ditetapkan supaya impian kewangan dapat dicapai dengan jayanya dan tepat pada waktunya.

Sebagai contoh, sekiranya anda menetapkan untuk mengumpul dana sebanyak RM6,000 untuk dijadikan wang pendahuluan bagi membeli sebuah kereta yang diidamkan dalam tempoh 2 tahun dari sekarang, oleh itu, anda perlu menyimpan sebanyak RM250 sebulan untuk selama 24 bulan bagi mencapai matlamat simpanan tersebut.

 

 

2. Bajet Terperinci dan Pantau Perbelanjaan

Sediakan bajet yang komprehensif dengan memaparkan pendapatan, perbelanjaan, dan sasaran simpanan mengikut kemampuan anda. Bajet ini akan berfungsi sebagai panduan untuk membantu anda mengagihkan sumber pendapatan secara efektif bagi mencapai matlamat anda. Antara formula bajet yang efektif dan boleh diamalkan oleh individu mengikut situasi kewangan masing-masing adalah dengan membahagikan pendapatan kepada beberapa komponen seperti sekurang-kurangnya 10% pendapatan perlu diperuntukkan untuk simpanan, manakala 70% adalah untuk perbelanjaan keperluan kehidupan harian seperti perumahan, pengangkutan, utiliti, insurans/takaful dan internet.

Baki 20% boleh digunakan untuk perbelanjaan berubah lain serta budi bicara seperti makan di luar, membeli-belah dan sebagainya.
Bajet yang lebih terperinci dan dirancang lebih awal dapat membantu anda berbelanja secara berhemat dan mengelakkan pembaziran kerana had bagi setiap kategori perbelanjaan telah ditetapkan sebelum berbelanja dan di samping itu juga, ia dapat membantu anda berbelanja mengikut kemampuan kewangan dan poket sendiri.

Seterusnya, pantau kedudukan aliran tunai anda dari semasa ke semasa dengan cara merekod setiap pendapatan yang diperolehi bersama jumlah yang dibelanjakan. Rekod aliran tunai ini dapat memberikan satu gambaran yang jelas akan wang yang dibelanjakan, malahan ia dapat membantu anda memahami corak perbelanjaan dan seterusnya membantu anda mengenal pasti perbelanjaan yang boleh dikurangkan.

 

 

3. Dana Kecemasan Menjadi Keutamaan

Dana kecemasan ialah wang yang diperuntukkan untuk perkara yang tidak dijangka seperti kenderaan rosak yang perlu dibaiki, bencana alam, rawatan penyakit yang memerlukan kos rawatan tinggi atau kehilangan punca pendapatan. Sekiranya anda masih belum mempunyai dana kecemasan, pastikan ia menjadi satu keutamaan untuk tahun 2024. Sasarkan untuk miliki 3-6 bulan kos sara hidup sebagai dana kecemasan.

Sebagai contoh, sekiranya perbelanjaan keperluan bulanan keluarga anda adalah RM4,000 sebulan, jumlah minimum dana kecemasan yang perlu ada adalah sebanyak RM12,000. Memiliki dana kecemasan yang mencukupi merupakan jaringan keselamatan kewangan yang akan membantu anda menangani perbelanjaan yang tidak dijangka sewaktu berlakunya krisis dan sekali gus membantu anda terus fokus kepada usaha mencapai matlamat kewangan.

 

 

4. Menyelesaikan Hutang Sedia Ada

Tumpukan usaha anda untuk melunaskan hutang sedia ada sebelum membuat pinjaman baharu. Elakkan pembayaran mengikut pemilihan (alternate) iaitu pembayaran bulanan secara berselang seli atau hanya menyelesaikan sebahagian hutang mengikut pilihan, kerana amalan ini boleh menimbulkan lebih banyak masalah di kemudian hari. Jika keadaan ini berterusan, ia akan memberi kesan kepada kualiti hidup termasuklah daya tahan kewangan dan peminjam juga tiada ketenangan minda bagi meneruskan kehidupan seharian.

Selain itu, anda juga boleh merancang untuk melunaskan hutang yang mempunyai kadar faedah yang lebih tinggi seperti kad kredit dan pinjaman peribadi dalam jangka masa yang lebih pendek. Dengan mengurangkan hutang sebegini, anda akan mempunyai lebih banyak sumber kewangan untuk diagihkan ke arah matlamat dan pelaburan anda. Sekiranya anda mempunyai komitmen hutang yang tidak terurus, dapatkan bantuan segera dari Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit yang boleh membantu anda meringankan bebanan bayaran hutang dengan penstrukturan dan penjadualan semua pinjaman. Perkhidmatan yang diberikan adalah percuma.

 

5. Melabur Dengan Bijak

 

Menyimpan wang lebihan dalam bentuk akaun simpanan atau tabungan bukanlah sesuatu yang ideal kerana kadar faedah rendah yang mungkin tidak dapat mengatasi inflasi, seterusnya menyukarkan pontensi wang untuk terus berkembang. Sebaiknya, wang lebihan perlu dilaburkan. Melabur merupakan peluang untuk individu dan perniagaan menjana wang tambahan daripada modal yang telah diperuntukkan. Walau bagaimanapun, harus diingat setiap pelaburan mempunyai risiko iaitu tahap ketidakpastian atau potensi kerugian kewangan. Tahap risiko yang berani diambil oleh anda akan mempengaruhi keuntungan dan kerugian pelaburan anda. Tidak kira anda pelabur pasif atau aktif, pengetahuan tentang pelaburan berserta ketersediaan menghadapi sebarang risiko adalah kunci utama sebelum membuat keputusan untuk menanam modal dalam sesuatu kelas aset.

Teruskan usaha untuk meningkatkan pengetahuan tentang pendidikan kewangan peribadi dan strategi pelaburan. Pembelajaran berterusan membolehkan anda membuat keputusan yang berinformasi dan menyesuaikan diri dengan perubahan hidup dan landskap ekonomi pada masa hadapan terutamanya waktu kecemasan.

 

6. Manfaatkan Teknologi

Penguasaan aplikasi dan alat kewangan berteknologi Fintech pada masa kini sudah tidak asing lagi dalam kalangan masyarakat kerana kebanyakan syarikat dan organisasi telah pun mengadaptasi penggunaanya. Kemudahan teknologi dapat membantu menguruskan pengurusan kewangan secara lebih efisien, teratur, dan memastikan anda kekal di landasan yang betul. Dapatkan Bantuan dan Nasihat daripada

 

7. Penasihat Profesional

Pertimbangkan untuk mendapatkan khidmat nasihat kewangan daripada agensi dan institusi yang sah seperti AKPK untuk mendapatkan panduan yang betul bagi membantu anda menambah baik kesejahteraan kewangan, mempelajari cara menangani kredit serta perihal kewangan lain dengan lebih holistik agar dapat mencapai matlamat kewangan tahun baru seperti yang dirancang.

Transaki Sehingga RM351 Juta Penipuan Telah Disekat Pada Tahun 2023

Transaki Sehingga RM351 Juta Penipuan Telah Disekat Pada Tahun 2023

Langkah pencegahan penipuan industri perbankan yang teguh membantu melindungi keselamatan kewangan pelanggan

Dari Januari hingga Oktober 2023, tiga belas bank ahli di bawah kelolaan Persatuan Bank-Bank Dalam Malaysia (ABM) dan Persatuan Institusi Perbankan dan Kewangan Islam Malaysia (AIBIM) telah berjaya menghalang transaksi penipuan bernilai RM351 juta dan melindungi pelanggan daripada pelbagai jenis penipuan. Pencapaian ini mencerminkan komitmen industri perbankan yang tinggi terhadap langkah pencegahan penipuan yang kukuh, di mana mereka terus berwaspada dan proaktif dalam usaha anti-penipuan, baru-baru ini diserlahkan oleh pelancaran kempen kesedaran #JanganKenaScam industri perbankan. Tindakan pengesanan dan pencegahan oleh bank telah berjaya menyelamatkan pelanggan daripada ditipu melalui skim seperti e-dagang, permohonan pekerjaan, pelaburan, penyamaran serta penipuan pancingan data.

Kempen Kesedaran Penipuan Kebangsaan yang pertama dilancarkan pada bulan Oktober 2022, di mana industri perbankan secara progresif melaksanakan lima langkah utama yang dicadangkan oleh Bank Negara Malaysia (BNM) untuk memerangi penipuan kewangan. Langkah-langkah terdiri daripada berhijrah daripada kata laluan satu kali SMS (OTP) kepada kaedah pengesahan yang lebih selamat; mengetatkan peraturan pengesanan penipuan bank; tempoh pengesahan dan bertenang untuk pendaftaran kali pertama perkhidmatan e-perbankan atau peranti selamat; membenarkan hanya satu peranti mudah alih atau peranti selamat untuk didaftarkan; dan saluran aduan khusus 24/7 untuk pelanggan.

Pelanggan dan orang awam secara keseluruhannya juga telah dijemput untuk menyertai usaha menentang penipuan kewangan melalui mesej daripada bank tentang pelbagai jenis penipuan dan tindakan mitigasi penipuan yang sepadan, melalui pelbagai platform media massa dan sosial bank.

“Usaha bersepadu dalam mewujudkan persekitaran yang lebih berwaspada dan keupayaan untuk mengelakkan penipuan oleh ABM dan AIBIM menandakan usaha kolektif persatuan dan bank ahli untuk mewujudkan persekitaran perbankan yang selamat, di mana pelanggan boleh mempercayai keselamatan transaksi kewangan mereka. Dengan kerjasama dan pematuhan kepada amalan terbaik industri, kami berhasrat untuk mengukuhkan asas ekosistem perbankan kami dengan menawarkan pelanggan hak ketenangan fikiran mereka,” kata Dato’ Khairussaleh Ramli, Pengerusi ABM.

Dato’ Mohd Muazzam Mohamed, Presiden AIBIM mengulas, “Reaksi positif dari pelanggan telah membuktikan keberkesanan inisiatif kolektif kami, langkah keselamatan yang dipertingkatkan dalam usaha pencegahan penipuan akhirnya membantu menyelamatkan sejumlah besar dana mereka dari scammers.” Cik E, seorang akauntan berusia 45 tahun berkongsi kisah bagaimana banknya berjaya menyelamatkan RM47,000 dalam akaunnya daripada ditipu. Kisah bermula apabila seorang pemanggil daripada nombor tidak dikenali yang mendakwa dirinya seorang pegawai bank, dan menyatakan satu transaksi telah dilakukan dengan kad kredit di bawah Cik E. Meskipun Cik E menafikan transaksi tersebut, beliau telah diminta untuk membuat laporan polis melalui telefon, dan kemudian panggilannya dipindahkan kepada pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) Ipoh. Pegawai PDRM palsu itu memaklumkan kepada Cik E yang waran tangkap telah dikeluarkan diatas nama beliau kerana terbabit dalam kegiatan jenayah.

Untuk menyenarai putih namanya, beliau dinasihati untuk mengosongkan wang dalam akaunnya dan memindahkan wang tersebut ke akaun destinasi tertentu bagi tujuan siasatan. Pemanggil palsu itu kemudian berjanji yang siasatan akan mengambil masa sekitar 3 hari, dengan wang tersebut akan dikembalikan ke dalam akaunnya dalam masa terdekat. Panik dan takut yang dengan gertakan yang dia akan ditahan polis, Cik E melakukan pemindahan wang sebanyak RM47,000 seperti yang diarahkan oleh pemanggil palsu itu. Dia menyedari dana itu tidak dipindahkan serta-merta ke akaun destinasi yang diminta kerana transaksi berada dalam tempoh ‘bertenang’.

Selepas siasatan lanjut, dan menyedari bahawa dia telah menjadi mangsa penipuan, beliau segera menghubungi pihak bank untuk membatalkan transaksi tersebut. Respons pantas pihak bank telah menyelamatkan wang hasil titik peluhnya daripada ditipu. Pelanggan tersebut menyatakan penghargaannya atas usaha bank dalam memerangi penipuan melalui ciri keselamatan baharu yang ditawarkan kepada pelanggan.

Cik E berkata, “Sentiasa berhati-hati dengan panggilan daripada pemanggil yang tidak dikenali. Hubungi pusat panggilan bank sekiranya terdapat sebarang ketidakpastian.”

Sementara itu, tinjauan yang dijalankan oleh syarikat penyelidikan pemasaran Rakuten Insights pada bulan Jun hingga Julai 2023, bertajuk Pendapat Awam Industri Perbankan tentang Penipuan, memberikan gambaran menarik yang diperoleh daripada lebih 1,200 orang awam. Tinjauan itu menunjukkan bahawa 63% daripada rakyat Malaysia mempunyai kaitan dengan penipuan sama ada secara langsung atau tidak langsung, 17% telah menjadi mangsa langsung penipuan perbankan atau kewangan manakala 46% tidak menjadi mangsa tetapi mengenali seseorang yang telah menjadi mangsa. Yang menariknya, responden menyatakan bahawa 76% daripada kes penipuan yang mereka ketahui adalah disebabkan oleh mangsa mendedahkan maklumat perbankan mereka secara tidak sengaja lalu membolehkan penipu mendapat akses pada kewangan mereka.

86% daripada responden mengakui menerima mesej dari bank untuk berwaspada terhadap penipuan perbankan dan kewangan. Di lima buah institusi perbankan utama, purata 68% daripada responden menilai usaha bank dalam memacu kesedaran penipuan sebagai memuaskan, dalam memerangi penipuan dan scam. Tambahan pula, 71% daripada responden ini mengambil dan membaca bahan daripada usaha bank untuk menyedarkan dan mendidik pelanggan tentang penipuan. Secara asasnya, kebanyakan responden merasakan bahawa berita dan logik akal adalah yang paling penting dalam mengenal pasti penipuan, manakala lebih daripada 50% menyatakan bahawa mereka berasa bersedia untuk menangani penipuan kewangan. Perlu diingatkan bahawa tinjauan mendapati orang yang sentiasa membaca dan memahami makluman bank adalah 15% lebih bersedia untuk menangani atau mengurus penipuan berbanding yang lain.

ABM, AIBIM dan bank ahli mereka akan terus bekerjasama rapat dengan agensi penguat kuasa undang-undang dan pengawal selia kewangan termasuk BNM dan PDRM serta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), dan pihak berkepentingan seperti CyberSecurity Malaysia untuk membantu menyebarkan mesej bahawa pelanggan harus kekal berwaspada dan berhati-hati semasa menjalankan transaksi kewangan. ABM dan AIBIM menggesa individu melaporkan sebarang aktiviti yang mencurigakan dengan segera kepada bank masing-masing supaya pihak bank boleh mengambil tindakan yang perlu. Umum yang menjadi mangsa penipuan kewangan juga boleh memaklumkan Pusat Pencegahan Jenayah Kewangan Nasional (NSRC) dengan menghubungi talian hotline NSRC di 997.

Online
Hi! Boleh kami bantu?