Kertas Kerja Perniagaan
Kenapa Perlu Ada Kertas Kerja Perniagaan atau kata lain “Business Proposal“?
Kertas kerja ataupun ‘rancangan perniagaan’ diperlukan kebiasaanya apabila anda hendak mendapatkan bantuan kewangan daripada agensi atau badan-badan tertentu atau ingin menjalankan sesuatu perniagan untuk meneliti potensi perniagaan bakal dijalankan atau sedang dijalankan. Bantuan kewangan yang dimaksudkan ialah sama ada permohonan pinjaman atau permohonan geran kerajaan.
Jelas dengan perniagaan yang dijalankan
“Apa bisnes yang kamu buat?”
Soalan yang sebegitu ringkas belum tentu boleh dijawab dengan ringkas juga. Anda mungkin tahu apa bisnes yang anda sedang jalankan, tapi adakah orang lain yang berada dalam pasukan anda turut mengetahui apa sebenarnya bisnes yang anda jalankan?
Kertas rancangan perniagaan akan dapat memberikan jawapan kepada soalan tersebut. Individu yang baca kertas kerja perniagaan yang anda tulis akan dapat gambaran yang lebih jelas tentang bisnes yang anda lakukan.
Faham dengan pasaran
Sebelum memulakan sebarang perniagaan, ini adalah perkara penting yang perlu dilakukan. Apa dia? Buat kajian pasaran. Setidak-tidaknya anda perlu tahu, adakah terdapat permintaan terhadap perkhidmatan ataupun produk yang bakal anda jual pada pasaran yang anda telah tetapkan?
Apabila anda menulis rancangan perniagaan dan anda berada pada fasa kajian pasaran, dari situ anda akan dapat jawapan setakat mana permintaan yang ada untuk perniagaan yang anda jalankan.
Kenalpasti risiko perniagaan
Terlalu fokus untuk mengejar keuntungan sampai terlupa faktor risiko, bukanlah satu tindakan yang bijak. Apabila menulis rancangan perniagaan, kita akan mengambil kira semua faktor yang boleh memberi impak dan kesan terhadap perniagaan yang dijalankan.
Salah satu tindakan yang perlu dilakukan adalah mengenalpasti risiko-risiko yang perlu dihadapi. Setelah mengetahui apa risikonya, barulah kita dapat merencana tindakan yang wajar diambil bagi mengurangkan risiko.
Menentukan potensi untung
Usaha niaga yang bakal dijalankan perlulah menunjukkan keuntungan pada peringkat perbincangan lagi. Anda juga perlu tahu bagaimana bisnes tersebut akan memberi untung dan apakah langkah yang perlu diambil bagi merealisasikan keuntungan tersebut.
Pada bahagian ini, anda mungkin perlu dapatkan bantuan seseorang yang mempunyai latar belakang kewangan atau seorang akauntan untuk bantu anda mengira potensi keuntungan dari perniagaan yang bakal dijalankan itu nanti.
bisnes teratur dan bersistem
Merujuk kepada istilah SOP atau dikenali juga dengan nama panjang Standard Operating Procedure.
Setiap orang dalam pasukan anda, diberi tanggungjawab untuk melakukan tugasan tertentu. Jika orang tersebut perlu ditukar, orang yang menggantikannya juga perlu lakukan tugasan yang sama dengan kualiti yang sama.
Dengan adanya sistem kerja yang jelas, kualiti kerja tidak bergantung kepada individu tertentu secara spesifik, sebaliknya semua orang yang diberi latihan yang sama dapat lakukan tugasan tersebut dengan hasil yang sama.