Antara Syarat Sah Menulis Wasiat Mengikut Undang-Undang

Antara Syarat Sah Menulis Wasiat Mengikut Undang-Undang

Harta anda mungkin terbeku dan tidak dapat dinikmati atau diterima oleh ahli keluarga tanpa perancangan awal sebelum berlaku kematian. Ketahui risiko yang anda bakal hadapi sekiranya anda MENANGGUHKAN & TIDAK MELAKUKAN perancangan harta pusaka.

Orang Islam digalakkan untuk menulis Wasiat seperti yang diriwayatkan daripada Abdullah Bin Umar: Rasulullah S.A.W yang bermaksud: “Tidak baik bagi seorang Muslim memiliki sesuatu yang ingin diwasiatkan bermalam dua malam, kecuali wasiatnya itu tertulis di sisinya.” Dipetik daripada Sahih Al Bukhari (jilid IV m/s 1).

Wasiat merupakan dokumen Undang-Undang yang menyatakan iqrar dan pesanan bagaimana aset pewasiat ingin diuruskan selepas kematian. Sekiranya individu meninggal dunia tanpa berwasiat, pusaka beliau mungkin tidak dapat diserahkan kepada benefisiari yang dihajati.

 

 

Syarat Menulis Wasiat Mengikut Undang-undang

Menurut undang-undang di Malaysia, terdapat beberapa syarat yang menjadikan wasiat sah di sisi undang-undang iaitu:

  1. Individu wajib berumur sekurang-kurangnya 18 tahun semasa menulis wasiat;
  2. Sempurna akal (waras) dan sihat tubuh badan;
  3. Tanpa paksaan dan desakan daripada sesiapa
  4. Tidak dilarang untuk mentadbir harta contohnya bankrap
  5. Mempunyai kemampuan menurut undang-undang untuk membuat wasiat.

 

 

Masalah yang boleh berlaku Sekiranya Seseorang Meninggal Dunia Tanpa Wasiat:

  1. Harta pusaka akan terbeku.
  2. Waris buntu dan terbeban untuk menguruskan harta pusaka sekiranya si mati tidak membuat wasiat.
  3. Waris mengalami masalah dalam mengenalpasti harta serta hutang yang ditinggalkan oleh si mati.
  4. Proses pentadbiran harta pusaka tanpa wasiat akan mengambil masa yang lama. Ia akan menyebabkan waris lewat mendapat hak mereka yang sepatutnya. Berkemungkinan juga akan berlakunya kematian waris dalam tempoh tersebut dan keadaan ini akan lebih menyukarkan urusan pentadbiran pusaka.
  5. Menangguhkan pentadbiran pusaka boleh menyebabkan pertambahan ahli waris seterusnya menjejaskan nilai bahagian penerima yang berhak diterimanya.

 

Harta Pusaka adalah merangkumi semua aset tak alih dan alih yang didaftarkan di atas nama si mati. Aset tersebut hanya akan dibahagikan setelah hutang piutang, belanja pengkebumian dan lain-lain perbelanjaan pentadbiran berkaitan pusaka diselesaikan. Wasiat adalah penting dalam merancang dan mentadbir harta pusaka. Sikap bertangguh untuk menulis Wasiat akan menyukarkan waris yang ditinggalkan.

Langkah & Cara Mempercepatkan Proses Pencairan Harta Pusaka

Langkah & Cara Mempercepatkan Proses Pencairan Harta Pusaka

1) Pelantikan Pentadbir Harta Pusaka.

Antara permasalahan yang merumitkan Pentadbiran Harta Pusaka adalah untuk mendapatkan persetujuan di kalangan waris bagi melantik Pentadbir Harta Pusaka si mati. Namun, sekiranya anda mempunyai dokumen Wasiat, Semasa hayat, anda berhak secara mutlak untuk melantik Pentadbir pusaka anda (Wasi) tanpa persetujuan waris. Selepas ketiadaan anda, pentadbiran harta pusaka akan menjadi lebih mudah dan lancar.
2) Mempercepat & Memudahkan Pengagihan Harta kepada Waris.

 

Berdasarkan rajah di atas, proses bagi pencairan aset menjadi lebih cepat dengan adanya dokumen Wasiat yang sah. Dengan adanya Wasiat, proses mendapatkan Probet di Mahkamah Tinggi Sivil adalah lebih cepat berbanding dengan proses mendapatkan Surat Kuasa Mentadbir.

 

3) Mendokumentasikan Harta Dengan Baik

Di dalam Wasiat komprehensif dan lengkap anda boleh mendokumentasikan semua aset anda dengan teliti. Senarai harta yang lengkap beserta maklumat dokumen pemilikan harta dinyatakan di dalam Wasiat akan memudahkan Wasi mentadbir Harta Pusaka serta mempercepatkan agihan kepada waris yang berhak. Semua jenis harta boleh didokumentasikan seperti hartanah, aset digital seperti cryptocurrency, pelaburan, perniagaan, wang simpanan di bank dan sebagainya. Butiran yang lengkap seperti lokasi, nombor akaun, dan sebagainya boleh direkodkan di dalam wasiat.

 

 

4) Penyelesaian Hutang Dunia & Akhirat:

Tugas utama Pentadbir Harta Pusaka adalah memastikan hutang piutang si mati dilangsaikan. Hutang dunia boleh diklasifikasikan seperti hutang kad kredit, pinjaman bank manakala hutang akhirat adalah seperti fidyah, badal haji dan lain-lain.

 

5) Bekerjasama Dengan Syarikat Amanah / Pakar Perancangan Harta Pusaka:

Adalah disarankan untuk anda mendapatkan bantuan pakar dalam menyediakan dokumen wasiat. Syarikat Amanah yang menawarkan perkhidmatan perancangan harta pusaka mampu memberikan nasihat undang-undang yang tepat dan membantu memastikan dokumen wasiat anda mematuhi hukum syarak dan berlandaskan undang-undang.

Kami juga menggalakkan Individu yang berhasrat untuk menulis wasiat agar melantik Syarikat Amanah sebagai Pentadbir Harta anda. Ini kerana, Syarikat Amanah telus dalam melaksanakan Wasiat anda serta tidak mempunyai apa-apa konflik kepentingan keatas aset si mati. Setiap proses mahupun kerja yang dijalankan direkod dan diaudit sepenuhnya bagi memastikan kepatuhan sepenuhnya terhadap undang-undang.

Dengan panduan-panduan ini, anda boleh mempercepatkan proses pencairan harta pusaka anda sekiranya meninggal dunia dan memberikan panduan yang jelas kepada waris anda kelak.

 

P/S: Jika anda ingin rangka wasiat untuk diri anda, hubungi kami segera. Dapatkan harga yang berpatutan!

Layakkah Pencen & Ganjaran Terbitan Diwasiatkan?

Layakkah Pencen & Ganjaran Terbitan Diwasiatkan?

Pencen dan ganjaran terbitan adalah dua faedah penting yang diberikan kepada waris terdekat selepas kematian seorang kakitangan atau pesara kerajaan. Tahukah anda bahawa pencen dan ganjaran terbitan ini TIDAK BOLEH DIWASIATKAN. Artikel ini bertujuan menjelaskan dengan lebih mendalam mengenai pencen dan ganjaran terbitan, serta peranannya dalam pengurusan selepas kematian.

Tidak Boleh Diwasiatkan

 

Ini bermakna, individu yang menerima pencen tidak mempunyai kuasa untuk menentukan siapa yang akan menerima pencen atau ganjaran ini selepas kematiannya melalui wasiat. Pencen dan ganjaran terbitan merupakan faedah serta hak yang diperuntukkan kepada kakitangan kerajaan. Sekiranya penerima pencen meninggal dunia, faedah tersebut akan dipindahkan kepada waris yang layak, sebagaimana yang ditakrifkan oleh kerajaan Malaysia. Oleh itu, penerima faedah dan hak ini telah ditetapkan oleh kerajaan dan tidak boleh diubah atau dipindah milik melalui wasiat.

 

Tidak Termasuk Dalam Harta Pusaka Si Mati

 

Menurut Akta Pencen 1980, pencen terbitan dan ganjaran terbitan tidak termasuk dalam harta pusaka si mati. Keputusan ini turut diperkuatkan oleh Muzakarah Jawatankuasa Fatwa yang menyatakan bahawa pencen dan ganjaran terbitan tidak tertakluk kepada hukum faraid. Dalam Islam, harta pusaka si mati perlu dibahagikan mengikut hukum faraid, yang menentukan bahagian waris berdasarkan hubungan mereka dengan si mati. Namun, kerana pencen dan ganjaran terbitan tidak termasuk dalam kategori harta pusaka, ia tidak perlu dibahagikan mengikut hukum ini. Sebaliknya, pencen dan ganjaran ini diberikan terus kepada waris yang layak tanpa perlu melalui proses pembahagian faraid. Berbeza dengan simpanan si mati hasil daripada duit pencen atau ganjaran, duit tersebut dikira sebagai pusaka dan boleh diwasiatkan sekiranya ada. Amat penting untuk membezakan antara pencen atau ganjaran yang belum diterima dengan yang telah diterima dan disimpan.

 

Diberikan Kepada Waris Terdekat

 

Pencen dan ganjaran terbitan hanya diberikan kepada waris terdekat yang layak. Waris yang biasanya layak menerima faedah ini termasuklah balu, duda, atau anak-anak si mati. Kerajaan telah menetapkan kriteria tertentu untuk menentukan siapa yang layak menerima pencen dan ganjaran ini.

Berikut ialah waris yang layak menerima pencen terbitan: 

Sumber: https://www.kwap.gov.my/pension-services/penerima-faedah-terbitan/

  • Balu atau Duda
  • Anak yang berumur 21 tahun dan ke bawah dan masih belum berkahwin.

Bagaimanapun, pengecualian berikut terpakai:

  • Anak kurang upaya layak untuk menerima pencen terbitan dengan syarat kehilangan upaya tersebut dialami sebelum anak itu mencapai umur 21 tahun dan kehilangan upaya tersebut menyebabkan anak tidak berupaya untuk menanggung dirinya sendiri
  • Anak yang sedang mendapat pendidikan di institusi pengajian tinggi untuk ijazah pertama layak menerima pencen terbitan sehingga tamat pengajian tersebut.

Proses Tuntutan Pencen dan Ganjaran Terbitan

 

Selepas kematian kakitangan atau pesara, waris perlu membuat tuntutan untuk menerima pencen dan ganjaran terbitan. Proses ini biasanya melibatkan beberapa langkah, termasuk mengemukakan dokumen-dokumen yang diperlukan seperti sijil kematian, sijil perkahwinan, dan dokumen pengenalan diri. Waris juga perlu memastikan bahawa mereka memenuhi kriteria kelayakan yang telah ditetapkan oleh kerajaan. Setelah permohonan diterima dan disahkan, pencen dan ganjaran terbitan akan mula dibayar kepada waris yang layak dalam tempoh masa tertentu.

 

Kepentingan Memahami Peraturan Ini

 

Memahami bagaimana pencen dan ganjaran terbitan berfungsi adalah penting bagi waris supaya mereka boleh membuat persiapan yang sewajarnya selepas kematian ahli keluarga yang bekerja sebagai kakitangan kerajaan. Ini juga membantu mengelakkan sebarang salah faham atau pertikaian dalam kalangan waris mengenai pembahagian harta pusaka si mati.

Waris perlu sedar bahawa pencen dan ganjaran terbitan bukanlah sebahagian daripada harta pusaka yang boleh dibahagikan mengikut kehendak si mati atau undang-undang faraid. Sebaliknya, ia adalah faedah yang diberikan mengikut peraturan yang telah ditetapkan oleh kerajaan, untuk memastikan perlindungan kewangan bagi mereka yang ditinggalkan.

 

Kesimpulan

 

Pencen dan ganjaran terbitan adalah faedah yang penting dan perlu difahami oleh setiap waris. Meskipun ia tidak boleh diwasiatkan dan tidak termasuk dalam harta pusaka, ia tetap memainkan peranan yang signifikan dalam memastikan kesejahteraan kewangan waris selepas kematian kakitangan atau pesara. Dengan pemahaman yang tepat, waris dapat menguruskan tuntutan pencen dan ganjaran terbitan dengan lebih berkesan dan memanfaatkan faedah ini untuk kesejahteraan keluarga mereka.

Kenapa Anda Perlukan Wasiat, Sedangkan Ada Hukum Faraid?

Kenapa Anda Perlukan Wasiat, Sedangkan Ada Hukum Faraid?

Bagi mengetahui mengapa anda perlukan Wasiat sedangkan sebagai umat Islam kita sedangkan sudah ada hukum faraid, kita perlu faham konsep Faraid dan konsep Wasiat.

Konsep Faraid

 

Apa Itu Hukum Faraid

 

Syarat bagi menerima Faraid ini adalah:

  1. Mempunyai pertalian darah;
  2. Seorang Muslim dan;
  3. Mempunyai pertalian perkahwinan.

Faraid adalah satu hukum pewarisan harta pusaka bagi orang Islam yang telah dinyatakan secara jelas di dalam Al-Quran. Ianya adalah mengenai siapa yang berhak terhadap harta peninggalan tersebut dan berapa bahagian yang ditetapkan bagi setiap waris yang layak.

 

Siapakah yang berhak mewarisi harta si mati mengikut hukum Faraid:

Waris utama berikut berhak untuk mewarisi harta si mati dengan syarat mereka beragama Islam. Mereka adalah:

  1.      Suami
  2.      Isteri
  3.      Ibu bapa
  4.      Anak-anak

Berikut adalah di antara golongan yang tidak dianggap sebagai waris serta tidak layak mewarisi harta si mati mengikut hukum Faraid:

  1. Anak angkat
  2. Ibu bapa angkat
  3. Ahli keluarga yang bukan beragama Islam
  4. Cucu daripada anak perempuan

 

Konsep Wasiat

Apa itu Wasiat?

Wasiat adalah pengakuan seseorang yang dibuat pada masa hayatnya ke atas hartanya atau manfaat untuk digunakan bagi tujuan kebajikan atau apa-apa tujuan yang dibenarkan oleh Undang-undang Islam, selepas kematiannya. Wasiat berkuatkuasa selepas kematian dan ianya boleh dipinda oleh pewasiat.

 

Syarat Sah Wasiat dari Segi Undang-Undang?

Wasiat hendaklah bertulis.

  1. Pewasiat mestilah Islam dan dewasa
  2. Waras, tiada paksaan dan desakan daripada sesiapa
  3. Mestilah seorang yang tidak dilarang untuk mentadbir harta atau bankrap
  4. Wasiat perlu ditandatangani dan disaksikan oleh sekurang-kurangnya 2 orang lelaki Islam atau 4 orang perempuan Islam ketika wasiat ditandatangani.

 

Apakah Kepentingan Wasiat?

Kepentingan utama penulisan Wasiat, adalah untuk melantik Wasi/Pentadbir bagi memastikan aset dapat dicairkan dan diuruskan serta diagihkan kepada waris.  Wasiat juga boleh melantik Penjaga harta anak di bawah umur/OKU selepas meninggal dunia. Melalui penulisan Wasiat juga, anda boleh membuat pemberian kepada mereka yang bukan waris Faraid termasuk pemberian infaq selepas meninggal dunia.

 

Siapakah Wasi/Pentadbir?

Wasi/Pentadbir adalah pihak yang mempunyai kuasa untuk menguruskan harta pusaka si mati.

 

Siapakah yang boleh dilantik sebagai Wasi/Pentadbir?

(i) Individu (Muslim, berumur 18 tahun ke atas)

(ii) Syarikat yang bertauliah & berdaftar

 

Apakah tugas Wasi?

(i) Mendapatkan Surat Kuasa/Probet

(ii) Mengenal pasti harta-harta dan hutang yang ditinggalkan

(iii) Mendapatkan Sijil Faraid

(iv) Melangsaikan Hutang simati

(v) Membahagikan harta pusaka simati

 

Perbezaan Wasiat dan Faraid

WASIAT

FARAID

Wasiat adalah pengakuan seseorang yang dibuat pada masa hayatnya ke atas hartanya atau manfaat untuk digunakan bagi tujuan kebajikan atau apa-apa tujuan yang dibenarkan oleh Undang-undang Islam, selepas kematiannya.

Faraid adalah satu hukum pewarisan harta pusaka bagi orang Islam yang telah dinyatakan secara jelas di dalam Al-Quran.

Perlaksanaan Pentadbiran Harta Pusaka dan Pengagihan Harta Pusaka kepada Waris dan Bukan Waris yang dinyatakan dalam Wasiat.

Berkait dengan Pengagihan Sahaja kerana Faraid adalah Hukum bagi menetapkan siapa yang berhak dan bahagian seseorang waris terhadap Harta Pusaka.

Dengan adanya Wasiat dapat

memberikan 1/3 daripada bahagian harta pusaka kita kepada seseorang yang bukan waris seperti:

a) Anak Angkat,

b) Keluarga Bukan Islam

c)  Sedekah

d) Wakaf

Waris utama berhak untuk mewarisi harta si mati dengan syarat mereka beragama Islam.

Waris seperti:

a) Suami

b) Isteri

c) Ibu bapa

Proses Pencairan Harta Pusaka Lebih Mudah dengan adanya Wasiat.

Proses Pencairan Harta Pusaka Lebih Sukar sekiranya tiada Wasiat.

 

Walau bagaimanpun, perkara yang penting dalam Penulisan Wasiat adalah Hukum Faraid. Wasiat berkait rapat dengan Hukum Faraid kerana mengikut Fatwa Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor Kali Ke 2, 2018 bersidang pada 20 April 2018

“Sesuatu wasiat yang dibuat kepada seseorang waris hendaklah tidak berkuat kuasa sehingga diberi persetujuan oleh waris-warisnya selepas kematian pewasiat.”

 

Mengapa Anda Perlukan Wasiat Sedangkan ada Hukum Faraid

Anda perlu membuat Wasiat walaupun ada hukum faraid kerana dengan adanya Wasiat dapat memastikan PENTADBIRAN DAN PENGAGIHAN Harta Pusaka dapat dilaksanakan selepas kita meninggal dunia. Ramai orang Islam menyangka bahawa harta mereka akan diagihkan terus kepada waris mengikut Faraid setelah mereka meninggal dunia.

Ramai tidak sedar bahawa:

  1. Selepas seseorang meninggal dunia, waris terpaksa melalui kepayahan terhadap proses pentadbiran sebelum harta boleh diagihkan mengikut Faraid.
  2. Proses Pengurusan Harta Pusaka Islam di Malaysia terbahagi kepada dua (2) aspek:PENTADBIRAN harta pusaka mengikut undang-undang Malaysia:
    • PENGAGIHAN harta pusaka kepada waris-waris.
    • Hukum Faraid pula hanyalah berkenaan PENGAGIHAN dan bukan PENTADBIRAN.
  3. Faraid tidak dapat dijalankan TANPA PROSES PENTADBIRAN.

 

Bagaimana Proses Pentadbiran dan Pengagihan Harta Pusaka dapat dilaksanakan melalui Wasiat?

  1. Perlantikan Wasi/ Pentadbir merupakan kunci dalam memastikan harta yang ditinggalkan tidak terbeku, dan menjamin harta dapat diagih kepada waris-waris yang ditinggalkan.
  2. Hal ini kerana, proses PENCAIRAN HARTA PUSAKA TANPA WASIAT melibatkan banyak prosedur dan agensi/institusi tertentu berbanding PROSES PENCAIRAN HARTA PUSAKA YANG BERWASIAT.
  3. Wasi yang telah dilantik oleh pewasiat sebelum kematiannya akan mentadbir harta pewasiat sesuai dengan kehendak dan pesanan yang diberitahu di dalam wasiat.
  4. Sekiranya tiada penulisan Wasiat atau apa-apa perancangan harta pusaka maka waris-waris berkemungkinan tidak dapat menerima harta yang ditinggalkan.

 

Kesimpulan

Oleh itu, dengan Merancang Wasiat bukan sahaja dapat menjamin pengagihan harta kepada waris-waris tetapi ianya akan membantu kita untuk:

  • Melantik pentadbir harta pusaka dan penjaga harta anak bawah umur.
  • Mempercepatkan & memudahkan proses pengagihan harta serta perletakan hak kepada waris.
  • Melunaskan hutang (Dunia & Akhirat).
  • Pengecualian bon pentadbiran.
  • Pemberian kepada bukan waris (Cth: Anak Angkat, Sedekah dan lain-lain; terhad kepada 1/3 harta)
  • Menyampaikan pesanan terakhir.
Online
Hi! Boleh kami bantu?