Rugi RM42.58 Juta Impak Boikot – Berjaya Food

Rugi RM42.58 Juta Impak Boikot – Berjaya Food

Berjaya Food, syarikat induk disebalik sejumlah jenama makanan di Malaysia, termasuk Starbucks di Malayisa kini telah mengeluarkan penyata tahunan untuk suku berakhir 31 Disember 2023 lepas. Melaluinya, ia memperlihatkan kerugian sebanyak RM42.58 juta.

Kerugian ini dilihat adalah disebabkan oleh boikot yang berlaku disebabkan oleh konflik melanda Palestin. Mengikut pendapatan yang direkodkan, Berjaya Food menjana RM182.55 juta pada suku lepas, berbanding RM295.32 juta untuk tempoh sama sebelumnya.

Pihak Berjaya Food sendiri menyatakan boikot memberikan kesan terhadap pendapatan mereka ini. Mengikut sasaran awal, Berjaya Food percaya prestasi pendapatan akan meningkat pada suku tahunan akan datang.

Jenama Kasut Popular Nike, Buang 1500 Pekerja

Jenama Kasut Popular Nike, Buang 1500 Pekerja

Nike, jenama kasut yang popular di dunia, kini mengumumkan akan membuang sekitar 2% tenaga kerja mereka, sekaligus memberikan kesan kepada lebih 1500 orang pekerja. Nike menyatakan ini adalah sebahagian daripada proses penstrukturan semula mereka.

Selari dengannya juga, Nike menyatakan akan memfokuskan kepada beberapa kategori utama, seperti kasut untuk berlari, kasut wanita, dan juga jenama Jordan dibawah Nike. Nike tidak menyatakan secara spesifik pekerja yang akan dibuang ini daripada bahagian yang mana.

Penstrukturan semula ini hadir selari dengan pelbagai ramalan memperlihatkan industri peruncitan terutamanya melibatkan pakaian yang memperlihatkan perkembangan yang perlahan pada tahun ini. Disamping Nike, sejumlah syarikat lain rentas industri turut telah mula melakukan pembuangan pekerja sejak bermulanya tahun 2024 – termasuk sejumlah besar syarikat teknologi global.

Syarikat Microsoft Kini Bernilai $3 Trillion Atasi Apple

Syarikat Microsoft Kini Bernilai $3 Trillion Atasi Apple

Microsoft kini mencapai nilai pasaran $3 trilion, sekaligus memposisikan ia sebagai syarikat paling bernilai di dunia, mendahului Apple. Sebelum ini, Apple menjadi yang pertama mencapai nilai pasaran berkenaan, tetapi memperlihatkan penurunan selepas itu.Sementara untuk Microsoft, pelaburan dalam arena kecerdasan buatan dilihat membawa kepada peningkatan harga saham.

Microsoft sendiri, selain memfokuskan kepada sokongan kecerdasan buatan pada storan awanan Azure, Microsoft juga telah mula mengintegrasikan ia secara lebih mendalam pada pelbagai produk mereka, termasuk Microsoft Office, Microsoft Teams dan sebagainya. Ciri dinamakan Copilot juga turut diintegrasikan menyeluruh pada Windows, selain ditawarkan sebagai aplikasi pada platform lain, termasuk melalui web.

Hujung Tahun Lepas 2023, Ali Baba Mengurangkan 20,000 Pekerja

Hujung Tahun Lepas 2023, Ali Baba Mengurangkan 20,000 Pekerja

Alibaba merupakan salah satu syarikat gergasi internet di China, yang turut mempunyai pegangan pada Lazada. Dengan saiznya yang besar, ia turut tidak terkecuali, dan telah melakukan pembuangan sejumlah besar pekerja pada tahun 2023 yang lepas. Mengikut angka dikongsikan, sepanjang 2023, Alibaba telah membuang sekitar 20,000 orang pekerja. Pada penghujung 2023, Alibaba mempunyai seramai 219,260 pekerja, berbanding hampir 240,000 pada permulaan tahun berkenaan.

Selain pengurangan pekerja, Alibaba juga telah melakukan penstrukturan, dan untuk tahun 2024 ini, ia dilihat langkah penstrukturan yang lebih menyeluruh akan dilakukan dan mungkin memberi kesan kepada pengurangan aset dan juga pekerja. Disamping Alibaba, sejumlah syarikat teknologi turut telah melakukan penstrukturan dengan mengurangkan tenaga kerja mereka sejak Januari 2024 ini.

5 Syarikat Bernilai Trillion Di Dunia

5 Syarikat Bernilai Trillion Di Dunia

Dalam ekonomi global hari ini, terdapat beberapa syarikat yang telah mencapai kejayaan yang luar biasa dengan nilai modal pasaran melebihi satu trilion dolar. Syarikat-syarikat raksasa ini mendominasi industri masing-masing dan mempengaruhi pasaran global secara signifikan.

Dalam artikel ini, kita akan meneroka dan belajar tentang lima syarikat trilion dolar teratas di dunia, mengkaji kisah kejayaan mereka yang luar biasa dan faktor-faktor yang telah menyumbang kepada pencapaian mereka yang tiada tanding.

 

1. Microsoft Corporation: Memperkasa Dunia Digital

Modal pasaran: US$3 trilion

Microsoft Corporation, telah ditubuhkan oleh Bill Gates dan Paul Allen pada tahun 1975, memainkan peranan penting dalam membentuk landskap digital moden. Dengan nilai modal pasaran melebihi dua trilion dolar, Microsoft adalah pemimpin global dalam pembangunan perisian, perkhidmatan awan, dan komputer peribadi.

Modal pasaran Microsoft kini mencecah US$3 trilion, syarikat kedua yang mencapai trilion dolar selepas Apple. Microsoft adalah pesaing paling dekat kepada Apple. Namun begitu kejayaan Microsoft adalah apabila mereka berjaya menjadi pilihan kedua kepada pengguna dalam mencari produk elektronik dan juga perisian komputer. Microsoft fokus kepada pengguna yang mahukan harga yang lebih murah berbanding Apple.

 

2. Apple Inc.: Merevolusikan Lanskap Teknologi

Modal pasaran: US$2.899 trilion

Apple Inc. yang telah ditubuhkan pada tahun 1976 oleh Steve Jobs, Steve Wozniak, dan Ronald Wayne, terkenal dengan produk elektronik pengguna, perisian, dan perkhidmatan dalam talian dengan jenama Apple. Dengan nilai modal pasaran melebihi dua trilion dolar, Apple telah mengukuhkan kedudukannya sebagai salah satu syarikat yang paling berharga dan berpengaruh di peringkat global.

Apple Inc merupakan syarikat yang pertama mencapai ‘trillion dollar company’. Antara faktor utama yang menyumbang kepada kejayaan mereka adalah membina ‘brand culture”. Apple juga berjaya dalam menetapkan harga untuk setiap produk mereka. Mereka tidak perlu bersaing dalam meletakkan harga produk, walaupun harga produk mereka lebih tinggi berbanding pesaing yang lain. Pengguna setia yang telah lama dibina menjadi tunggak dalam kejayaan mereka. Kedua-dua syarikat Apple dan Microsoft adalah peneraju dalam teknologi dengan menyediakan perisian dan juga peranti untuk teknologi.

 

3. Saudi Aramco.: Peneraju Industri Minyak Mentah

Modal pasaran: US$2.001 trilion

Saudi Aramco merupakan pengeluar minyak mentah terbesar di dunia. Syarikat ini mempunyai akses kepada dua sumber utama gas dan minyak, iaitu al-Ghawar dan al-Safaniya, yang terletak di antara kawasan pengeluaran minyak yang paling penting di dunia. Saudi Aramco bertanggungjawab terhadap pengeluaran minyak dan setiap penurunan dan kenaikan pengeluaran mampu memberi kesan kepada harga minyak mentah dunia.

Selain itu kejayaan mereka adalah dalam pelan pelaburan yang pelbagai. Melalui Aramco Development Company, syarikat ini sedang melabur dalam industri lain seperti tenaga solar, pemprosesan hidrokarbon hidrogen, dan gas asli, yang membantu untuk mengembangkan portfolio Saudi Aramco dan mencapai pelaburan jangka panjang.

 

4. Google, Alphabet.: Pemegang Data Dunia

Modal pasaran: US$1.763 trilion

Google adalah enjin carian terkemuka di peringkat global, dengan nilai pasaran yang besar. Enjin carian Google sangat popular dan digunakan secara meluas, yang menghasilkan pendapatan iklan yang besar. Dominasi Google dalam pasaran carian telah memberikan sumbangan yang besar kepada kejayaan kewangan syarikat ini.

Platform pengiklanan Google, Google Ads, adalah sumber pendapatan utama bagi syarikat ini. Ia menyediakan platform pengiklanan yang efektif kepada perniagaan. Ini telah menarik minat ramai usahawan untuk menggunakan servis google dan perkara ini menyumbang kepada pertumbuhan syarikat Google.

Kepelbagaian produk dan perkhidmatan telah meluaskan servis mereka melampaui pencarian dan pengiklanan. Mereka telah berkembang ke dalam pelbagai sektor, termasuk pengkomputeran awan (Google Cloud), perkakasan (Google Pixel, Nest), perisian (Google Workspace), dan kenderaan autonom (Waymo). Pelbagai ini telah membolehkan Alphabet merentas pelbagai sektor dan aliran pendapatan, menyumbang kepada nilai keseluruhan syarikat.

 

5. Amazon.com Inc.: Memperkasa E-Dagang

Modal pasaran: US$1.645 trilion

Amazon.com Inc., ditubuhkan oleh Jeff Bezos pada tahun 1994, telah mengubah cara orang berbelanja dan membuka jalan bagi dominasi industri e-dagang. Dengan nilai modal pasaran melebihi 1.5 trilion dolar, Amazon telah menentukan semula konsep keselesaan, menawarkan pelbagai produk dan perkhidmatan kepada pelanggan di seluruh dunia.

Pendekatan berorientasikan pelanggan, logistik yang cekap, dan teknologi yang mendepani masa depan telah mendorong syarikat ini mencapai kejayaan yang tidak terkira. Selain dari itu, Amazon juga berjaya melakukan beberapa langkah strategik dengan melabur dan mengambil alih syarikat-syarikat lain di pasaran saham Amerika Syarikat. Perkara ini juga membantu meningkatkan nilai syarikat mereka dalam pasaran.

Sumber: companiesmarketcap.com

150 Pekerja Dibuang Oleh Zoom Untuk Permulaan 2024

150 Pekerja Dibuang Oleh Zoom Untuk Permulaan 2024

Zoom yang terkenal dengan penawaran perkhidmatan panggilan video, kini memaklumkan yang mana akan mengurangkan tenaga kerja mereka sebanyak 2%. Ini sekaligus akan memberikan impak terhadap 150 pekerja. Walaupun begitu, Zoom turut menyatakan mereka akan kekal menambah pekerja pada beberapa bahagian, termasuk kecerdasan buatan, jualan, produk, dan sebagainya.

Permulaan tahun 2024 ini, menyaksikan ratusan syarikat teknologi membuang pekerja dalam usaha mengurangkan kos operasi. Terdapat juga beberapa syarikat mengurangkan pekerja dan menggantikan beberapa tugasan menggunakan kecerdasan buatan.

Online
Hi! Boleh kami bantu?