Anggaran 46% Rakyat Di Malaysia Tiada Insuran

Anggaran 46% Rakyat Di Malaysia Tiada Insuran

Pada hari ini, ia dianggarkan hampir seramai 46% rakyat Malaysia masih tidak mempunyai sebarang perlindungan insurans atau takaful. Ini terutamanya melibatkan mereka dalam kumpulan B40 dan juga M40, selain para pekerja gig.

Perkara ini dikongsikan oleh Persatuan Takaful Malaysia, dan turut menyatakan kadar penembusan semasa untuk takaful di Malaysia adalah sebanyak 20%, sementara insurans konvensional adalah pada kadar 34%.

Ini sekaligus memperlihatkan potensi industri berkenaan yang boleh diperluaskan lagi untuk meliputi pelbagai golongan, dan menawarkan perlindungan. Ia turut disasarkan penembusan takaful di Malaysia untuk mencapai 40% menjelang 2027 kelak.

Etiqa Lancar Pelan Takaful Dalam Talian Untuk Orang Kurang Upaya

Etiqa Lancar Pelan Takaful Dalam Talian Untuk Orang Kurang Upaya

Etiqa Family Takaful Bhd melancarkan i-Care OKU, pelan Takaful dalam talian pertama yang menyediakan perlindungan setahun untuk Orang Kurang Upaya (OKU). Ketua Pegawai Eksekutif Zafri Ab Halim berkata melindungi mereka yang cacat penglihatan, pendengaran, pertuturan dan/atau fizikal, i-Care OKU juga direka khas untuk memudahkan permohonan dibuat dan tanpa pemeriksaan kesihatan diperlukan.

“Dengan i-Care OKU, pemohon tidak perlu mengemukakan laporan perubatan. Sebaliknya, mereka perlu menjadi pemegang kad OKU yang dikeluarkan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat.

“Sumbangan untuk pelan ini adalah berpatutan bermula daripada serendah RM0.33 sehari untuk perlindungan sehingga RM40,000 dan mereka perlu memperbaharui pelan itu setiap tahun,” katanya pada sidang media selepas pelancaran i-Care OKU hari ini.

Program itu dilancarkan oleh Ahli Dewan Negara Malaysia dan Pengasas OKU Sentral Senator Datuk Ras Adiba Radzi. Zafri berkata manfaat lain termasuklah elaun hospital harian sehingga RM55 sehari selepas dimasukkan ke hospital, manfaat kematian yang akan menampung perbelanjaan pengebumian dan faedah pembayaran balik perubatan sehingga RM400 untuk rawatan perubatan akibat kemalangan.

Selain itu, pemegang sijil takaful akan menerima wang tunai jika didiagnosis denggi, COVID-19 atau sebarang penyakit berjangkit yang memerlukan kuarantin mengikut undang-undang di Malaysia, di bawah Special Care Benefit. Katanya pemohon dengan lebih daripada satu ketidakupayaan juga layak membuat permohonan untuk pelan tersebut kerana i-Care OKU membolehkan golongan OKU dengan maksimum dua ketidakupayaan untuk menyertainya.

Bagaimanapun, ketidakupayaan mereka perlu merupakan gabungan kecacatan fizikal dan sama ada kecacatan pendengaran, penglihatan atau pertuturan. Sementara itu, Ras Adiba berkata berdasarkan kiraan populasi, terdapat 4.9 juta OKU di negara ini namun hanya 619,273 yang mendaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat.

“Antara perkara paling sukar bagi golongan seperti kami adalah untuk mendapatkan insurans khususnya bagi kemasukan wad dan pembedahan, tidak seperti orang bukan OKU.

“Alhamdulillah, produk yang diperkenalkan pada hari ini adalah satu usaha ke arah itu. Selama bertahun-tahun, saya bersama rakan-rakan aktivis telah cuba sedaya-upaya untuk membuka minda syarikat insurans supaya memikirkan sedikit tentang kami,” katanya.

Ras Adiba berkata pelan yang melindungi beberapa kategori OKU itu diharap dapat dicontohi oleh syarikat insurans lain dalam memberi kemudahan atau manfaat kepada golongan OKU.

“Mungkin tidak semua mampu untuk ambil insurans tetapi saya sarankan sahabat-sahabat di luar sana untuk mendapatkan khidmat nasihat daripada pihak Etiqa kerana yuran yang dikenakan bagi pelan ini tidak mahal dan bayaran sekali setahun sahaja,” katanya.

i-Care OKU by Etiqa boleh dibeli secara dalam talian menerusi kami di KMC!

Online
Hi! Boleh kami bantu?