Kebimbangan Rakyat Malaysia Berkaitan Rasuah, Inflasi, Cukai Semakin Melonjak

Kebimbangan Rakyat Malaysia Berkaitan Rasuah, Inflasi, Cukai Semakin Melonjak

Biarpun terdapat 53% rakyat negara mengekalkan keyakinan mereka terhadap hala tuju Malaysia, didapati 47% pula meluahkan rasa kebimbangan akan prestasi semasa. Antaranya melibatkan tahap rasuah di negara serta paras inflasi dan pengenalan cukai baharu.

 

 

Dapatan Ipsos pada minggu ini secara jelas menunjukkan tahap kebimbangan penduduk negara telah mulai meningkat daripada 34% pada awal 2023 kepada 47% setakat Mac 2024 lalu. Sementara kadar penduduk negara yang optimis pada hala tuju negara pula dilihat kian menurun daripada 66% pada Mac 2023 kepada 53% pada Mac 2024.

 

Peningkatan kebimbangan itu didasari berasaskan persekitaran kewangan dan gejala rasuah (50%), inflasi (38%), kadar pengangguran (32%), ketidaksamaan sosial dan kemiskinan (31%) dan cukai (23%). Melihat pada faktor tersebut, tekanan aspek cukai berikutan pelarasan cukai perkhidmatan kepada 8% dalam beberapa kategori serta pengenalan cukai baharu kelak. Tindakan tersebut secara langsung memberi kegusaran kepada penduduk akan kuasa perbelanjaan di pasaran.

Secara menyeluruh, berlandaskan data suku tahunan didapati tahap keyakinan pengguna telah menurun daripada 54% kepada 49% sepanjang tahun lalu. Penurunan lebih ketara direkodkan pada suku keempat 2023.

 

 

Inflasi Di Malaysia Sekitar 2.5% Untuk Tahun 2024 – Bank Dunia

Inflasi Di Malaysia Sekitar 2.5% Untuk Tahun 2024 – Bank Dunia

Dengan sasaran persekitaran kos pasaran dan permintaan yang lebih baik pada tahun 2024, Bank Dunia menjangkakan paras inflasi keseluruhan Malaysia akan lebih sederhana – sekitar 2.5%. Tidak hanya itu paras inflasi teras meliputi indeks harga pengguna (IHP) dalam sektor perkhidmatan dan barangan turut dilihat berpotensi menurun bersama pengurangan kadar kemiskinan di negara.

Perkongsian Bank Dunia pada laporan data semasa Ekonomi Asia Timur dan Pasifik April 2024 ini menjelaskan jangkaan itu bagaimanapun kekal tertakluk kepada keupayaan pentadbiran negara – dalam memastikan pelarasan kawalan harga serta penstrukturan subsidi memberi kelebihan kepada rakyat.

Selain itu, isu ketidaksamaan pendapatan juga perlu terus disemak Malaysia. Bank Dunia melihat sekiranya ia tidak distrukturkan dengan baik ini akan meningkatkan jurang pendapatan rakyat negara antara negeri. Secara menyeluruh, berdasarkan pertumbuhan pula – negara kekal dengan ramalan mencapai prestasi ekonomi sekitar 4.3% pada tahun ini, ddiikuti 4.4% pada tahun 2025 kelak.

 

 

Tabung Haji Umum Dividen Untuk Tahun 2023

Tabung Haji Umum Dividen Untuk Tahun 2023

Lembaga Tabung Haji (TH) hari ini memaklumkan agihan keuntungan selepas zakat sebanyak 3.10% setelah mengambil kira pelunasan zakat sebanyak 2.57%. Jumlah agihan ini untuk perhatian semua pihak adalah melibatkan nilai RM2.72 bilion bagi tahun kewangan 2023.

Pada agihan ini, dijangka lebih 9.15 juta para pendeposit TH akan menerima manfaat tersebut bersama kadar dividen kekal di paras 3.1%. Jelas TH lagi, prestasi positif ini telah didorong dalam pelaburan patuh Syariah meliputi instrumen pendapatan tetap yang menjana 52% daripada jumlah pendapatan keseluruhan. Manakala 24% pula disumbang oleh pelaburan entiti.

Sementara pulangan pasaran hartanah pula turut menyumbang 24%. Secara menyeluruh ini menjadikan jumlah terkumpul agihan keuntungan sejak penubuhan TH selama 60 tahun, sebanyak RM42.88 bilion sehingga kini.

Berikutan pengumuman ini, para pendeposit boleh menyemak agihan keuntungan yang dikreditkan ke akaun masing-masing bermula tenghari ini 2 April melalui platform THiJARI, kaunter TH, kaunter Bank Islam dan Bank Rakyat. Sementara saluran atas talian merangkumi Bank Islam, Bank Rakyat, Maybank Islamic, CIMB Islamic dan AmBank Islamic.

 

 

 

Pelaburan Untuk Digital Meningkat Sehingga 54% Bernilai RM46.22 Billion – MDEC

Pelaburan Untuk Digital Meningkat Sehingga 54% Bernilai RM46.22 Billion – MDEC

Prestasi kemasukan pelaburan digital di Malaysia dilihat terus rancak apabila menyaksikan peningkatan 54% kepada RM46.22 bilion pada tahun lalu. Lonjakan ini menurut Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia ( (MDEC) melibatkan 256 syarikat dengan pelaburan dalam aspek teknologi maklumat, hab data serta kandungan kreatif. Aturan itu sekaligus turut menambah-baik peluang pekerjaan di pasaran negara dengan pertumbuhan 36%.

Malah pencapaian syarikat digital tempatan pula terus berdaya saing dengan merain peningkatan 18% pada perolehan semasa iaitu kepada RM8.87 bilion berbanding sasaran RM7.5 bilion. Angka ini secara langsung mencerminkan ketersediaan Malaysia dalam perluasan digital di pasaran serantau. Secara menyeluruh syarikat digital Malaysia kini memiliki kehadiran di 17 negara dan antara yang tertinggi melibatkan Indonesia, Filipina dan Vietnam.

Bakal Kutip Cukai RM3 Billion Hasil Cukai 8% Diperkenalkan – Malaysia

Bakal Kutip Cukai RM3 Billion Hasil Cukai 8% Diperkenalkan – Malaysia

Hasil perluasan skop dan pelarasan kadar baharu cukai perkhidmatan 8% pada awal Mac lalu, Malaysia dijangka berupaya meraih tambahan perolehan sekitar RM3 bilion. Angka itu menurut Perdana Menteri Anwar Ibrahim, merangkap Menteri Kewangan pada sidang Dewan Rakyat semalam (26 Mac) langkah itu tidak sekadar meningkatkan hasil Malaysia tetapi turut membantu ekonomi negara dalam memberi tumpuan pada kenaikan cukai melibatkan kategori perkhidmatan kemahuan.

Malah perubahan ini turut dimaklumkan tidak memberi impak yang ketara pada inflasi negara dengan kesan kecil di mana Jabatan Statistik (DOSM) menggariskan setakat ini kesan tersebut mencatatkan sekitar 0.2% pada kos semasa.

Bagi penjelasan lanjut, aturan kenaikan cukai perkhidmatan ini sama sekali tidak melibatkan perbelanjaan berkaitan makanan, minuman dan telekomunikasi – skop ini kekal dengan pengenaan cukai perkhidmatan 6%. Selain itu perbelanjaan utiliti seperti petrol dan air turut kekal dan tidak dikenakan cukai perkhidmatan.

OPR Mungkin Kekal Sepanjang Tahun 2024 – BMI

OPR Mungkin Kekal Sepanjang Tahun 2024 – BMI

BMI, sebuah syarikat Fitch Solutions, menjangka Bank Negara Malaysia (BNM) akan mengekalkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) pada 3.0 peratus sehingga akhir 2024.

Katanya pada 7 Mac lepas, bank pusat itu menetapkan OPR pada 3.0 peratus pada mesyuarat kelima berturut-turut, selaras dengan konsensus dan jangkaan BMI.

Menurut firma penyelidikan itu, selain daripada rujukan tidak langsung bank pusat kepada mata wang yang berada ‘di bawah nilai’, yang jelas tiada dalam penyata dasar sebelum ini, terdapat sedikit perubahan, terutamanya untuk panduan ke hadapan.

Dalam nota hari ini, BMI berkata terdapat dua alasan yang menyokong pandangannya bahawa BNM akan mengekalkan kadar pada mesyuarat seterusnya pada 9 Mei 2024.

Pertama, trajektori inflasi semasa tidak memberi ancaman kepada sasaran inflasi bank pusat.

“Pertumbuhan upah dalam sektor perkhidmatan telah berada pada trajektori menurun, mencatat paras tertinggi sebanyak 9.5 peratus tahun ke tahun pada suku kedua 2022 dan terkini merosot kepada sekitar tiga peratus pada suku keempat 2023.

“Data tersebut seterusnya menunjukkan inflasi perkhidmatan, yang menyumbang lebih 50 peratus daripada kumpulannya, akan stabil pada dua peratus pada suku tahun akan datang, sejajar dengan pandangan kami untuk inflasi keseluruhan kepada purata 2.0 peratus pada 2024,” katanya.

Kedua, katanya ringgit menerima tekanan yang tinggi, selepas merosot 5.1 peratus berbanding dolar AS pada tahun lepas.

“Walaupun ia mencatatkan pemulihan secara berperingkat dalam beberapa minggu ini, prestasi ringgit setakat ini masih ketinggalan berbanding ekonomi pasaran sedang pesat membangun yang lain.

“Kami telah menyatakan bahawa BNM akan berhati-hati dalam melonggarkan dasar monetari kerana bimbang akan menjejaskan kestabilan mata wang berikutan keadaan monetari global yang kekal terhad.

“Bank pusat sejajar dengan pandangan ini dan menjangka pendirian dasar monetari global ‘akan kekal terhad’ dalam jangka pendek.

“Bagaimanapun, dengan Rizab Persekutuan AS dijangka melonggarkan dasar pada Jun, perbezaan hasil secara berperingkat akan memberi kelebihan kepada ringgit dalam tempoh beberapa bulan akan datang,” menurut BMI.

Firma penyelidikan itu berpandangan bahawa bukan sahaja BNM cenderung untuk tempoh yang lama tanpa tindakan tetapi pada tiga peratus, kadar dasar adalah sejajar dengan paras sebelum pandemik, menunjukkan bahawa dasar tidak terhad seperti dalam ekonomi lain.

“Seterusnya, kami mengunjurkan tekanan harga asas akan merosot pada 2024 dan purata dua peratus pada 2024, susut daripada 2.5 peratus pada 2023.

“Pasukan minyak dan gas kami mengunjurkan kenaikan lima peratus untuk purata harga minyak mentah pada 2024, konsisten dengan inflasi keseluruhan yang merosot di bawah dua peratus.

“Ini menunjukkan inflasi tidak akan memberi kebimbangan kepada BNM untuk baki tahun ini,” katanya.

Dalam perkembangan lain, BMI berkata pihaknya menjangka pertumbuhan Malaysia akan kekal kukuh pada 2024.

Katanya data akaun negara yang terkini menunjukkan ekonomi menguncup dengan pelarasan musim 2.1 peratus suku ke suku pada suku keempat 2023, bersamaan dengan kadar pertumbuhan tiga peratus tahun ke tahun.

“Walaupun ini menjadikan pertumbuhan tahun penuh pada 2023 kepada 3.7 peratus, ia berkurangan daripada unjuran kami sebanyak 3.9 peratus.

“Melihat ke hadapan, dengan prospek ekonomi yang bertambah baik, kami menjangka pertumbuhan akan meningkat kepada 4.4 peratus pada 2024 dan berpendapat bank pusat lebih cenderung untuk mengekalkan ruang dasar berbanding bertindak sekiranya terdapat kejutan negatif kepada ekonomi,” katanya.

Bagaimanapun, katanya risiko terhadap unjuran kadar faedah cenderung kepada positif.

“Prospek inflasi domestik masih bergantung sebahagian besarnya kepada pelan kerajaan mengenai subsidi pada tahun ini.

“Penurunan akan menyebabkan tekanan harga meningkat semula. Sementara itu, jika ringgit menghadapi tekanan penurunan nilai, ini boleh mendorong BNM untuk menaikkan kadar bagi mengekalkan perbezaan kadar faedah sebenar berbanding Amerika Syarikat,” katanya.

— BERNAMA

Online
Hi! Boleh kami bantu?